Search This Blog

Kisah An-Nablusi





Abu Bakr Muhammad bin Ahmad bin Sahl bin Nasr Ar-Ramli, lebih dikenali sebagai An-Nablusi, wafat pada tahun 363 Hijrah.

Dia seorang Ulama yang soleh lagi warak, dan zuhud terhadap nikmat dunia. Dia setia dengan kebenaran, dan akan berpuasa selang sehari, seperti puasa Nabi Daud.

Dia Ulama yang mahir dalam bidang fiqh dan hadith, dan dia antara Ulama Hadith yang paling hebat pada zamannya, di mana dia mengambil riwayat dari At-Tabarani dan Ibn Qutaybah. Antara murid-muridnya adalah Ad-Daraqutni, Ali ibn Umar Al-Halabi dan lain-lain.

Kisah Abu Bakr An-Nablusi masyhur kerana dia giat melawan Kerajaan Syiah Fatimiyyah di Mesir.

Abu Bakr An-Nablusi lari ke Damsyik apabila Kerajaan Syiah Fatimiyyah bawah pimpinan Al-Mu'iz Ad-Dinillah menawan Palestine, Kerajaan Syiah Fatimiyyah memaksa penduduknya mencaci Para Sahabat di atas mimbar, melarang orang ramai Solat Tarawih dan Solat Dhuha, dan juga memaksa rakyatnya berdoa qunut pada Solat Zohor.

Abu Bakr An-Nablusi sangat benci dengan kesesatan dan kejahatan Kerajaan Syiah Fatimiyyah sehingga dia sering berkata:

"Jika aku ada 10 tombak, aku akan lemparkan 1 tombak kepada Orang-orang Rom, dan aku akan lemparkan 9 tombak kepada pemerintah Fatimiyyah yang kejam ini."

Ditakdirkan pula Kota Damsyik jatuh ke tangan Kerajaan Syiah Fatimiyyah. Abu Bakr An-Nablusi ditangkap dan dihantar ke Mesir.

Sampai di Mesir, Abu Bakr An-Nablusi dihadapkan kepada Al-Muiz Li Dinillah. Al-Mu'iz Li Dinillah berkata kepada Abu Bakr An-Nablusi:

"Aku telah dikhabarkan bahawa kamu pernah berkata jika seseorang itu mempunyai 10 tombak, dia harus melemparkan 1 tombak kepada Orang-orang Rom dan 9 tombak kepada kami!"

Abu Bakr An-Nablusi menjawab:

"Aku tidak pernah berkata demikian!"

Al-Mu'iz Li Dinillah ketawa dan menyangka bahawa Abu Bakr An-Nablusi ingin menarik balik kata-katanya sebelum ini. Maka dia pun bertanya:

"Jadi, apakah kenyataan kamu sebelum ini?"

Abu Bakr An-Nablusi menjawab dengan tegas:

"Jika seorang lelaki mempunyai 10 tombak, dia harus melemparkan 9 tombak kepada kamu, dan juga melemparkan tombak yang ke sepuluh kepada kamu juga!"

Al-Mu'iz Li Dinillah terkejut dan berkata:

"Mengapa?"

Abu Bakr An-Nablusi menjawab:

"Kerana kamu mengubah agama Umat ini, kamu membunuh Orang-orang Soleh, kamu cuba memadamkan cahaya kebenaran, dan kamu merampas harta yang bukan milik kamu!"

Maka Abu Bakr An-Nablusi dibawa keluar. Dia disebat pada keesokan harinya dan pada hari Ketiga, dia disalib.

Seorang pemotong daging beragama Yahudi dipanggil - kerana tiada penjual daging Muslim yang sanggup - untuk mengupas/siat kulitnya.

Pemotong daging itu siat kulit Abu Bakr An-Nablusi bermula dari kepalanya sehinggalah ke mukanya, dan sepanjang proses kulitnya disiat, Abu Bakr An-Nablusi terus berzikir dan mengulangi ayat Al-Quran:

كَانَ ذَٰلِكَ فِي الْكِتَابِ مَسْطُورًا

Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuzh).

[Surah Al-Isra, ayat 58]

Apabila pemotong daging itu siat kulit Abu Bakr An-Nablusi sampai ke tangannya, dia mengambil pisau dan menikam jantungnya untuk mengakhiri hayat Abu Bakr An-Nablusi yang disiat kulitnya.

Orang-orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menyatakan bahawa suara bacaan Al-Quran dapat didengari dari mayat Abu Bakr An-Nablusi.

Ibn Ash-Sha'sha Al-Misri meriwayatkan bahawa dia berjumpa dengan Abu Bakr An-Nablusi di dalam mimpinya setelah kematiannya. Abu Bakr An-Nablusi kelihatan sangat indah dan gembira. Maka Ibn Ash-Sha'sha Al-Misri bertanya kepada Abu Bakr An-Nablusi:

"Apakah yang Allah telah lakukan pada anda?"

Abu Bakr An-Nablusi menjawab:

"Rabb' aku telah mencintai aku dengan kemuliaan yang kekal. Dia telah mendekatkan aku pada-Nya dan menjadikan aku wali-Nya.

Dan Dia (Allah) berfirman:

"Bergembiralah dengan kehidupan yang kekal di samping Aku."

[Terjemahan dari Tarek Mehanna, Ringkasan dari Al-Bidayah wa An-Nihayah, 11/241]


Wallahu'alam

Kisah Umar ibni Abd al-Aziz





Umar ibni Abd al-Aziz (682-720) ialah khalifah Ummaiyyah yang memerintah dari tahun 717 hingga tahun 720. Beliau telah menjadi Khalifah selama 30 bulan sahaja tetapi dalam masa yang singkat inilah beliau telah berjaya memakmurkan dan menyatukan umat Islam.

Keadilan dan ketegasan Umar dalam pemerintahannya telah berjaya menjadikan rakyatnya hidup dengan aman dan damai serta makmur dengan kekayaan. Yahya ibn Said pernah meriwayatkan bahwa, Umar telah mengutuskannya ke Afrika Utara untuk membahagi-bahagikan zakat kepada penduduk di sana.

Yahya pun melaksanakan perintah tersebut. Beliau mencari golongan fakir miskin untuk diberikan zakat tetapi tidak menemui seorang pun dan tiada pula orang yang mahu menerima zakat tersebut. Hakikatnya adalah, Umar telah berjaya menjadikan rakyatnya kaya-raya. Akhirnya, Yahya beli beberapa orang hamba dengan harta zakat itu lalu merdekakan mereka.

Umar pernah menghantar utusan pendakwah ke China dan Tibet untuk mengundang penguasa mereka untuk memeluk agama Islam. Umar juga merupakan pemerintah pertama yang mengutuskan pengumpulan hadits yang terdiri dari para tabiin terhebat seperti Abu Bakr ibn Muhammad ibn Hazm dan Ibnu Shihab Al-Zuhri.

Umar menghapuskan jizya dan cukai kerana beliau percaya Nabi Muhammad SAW telah diutus sebagai Nabi yang membawa rahmat kepada umat Islam dan bukan sebagai pemungut cukai.

Diriwayatkan bahwa Umar meninggal dunia kerana diracuni makanannya. Pembaharuan dan perubahan yang dilakukannya menimbulkan kemarahan golongan bangsawan Ummaiyyah yang kemudiannya merasuah seorang hamba untuk meracuni makanannya.

Umar tahu siapa yang meracuninya lalu memanggil orang itu dan hanya tanya berapakah harga ia diupah untuk meracuni beliau. Orang itu kata seribu dinar lalu Umar meminta seribu dinar darinya dan memaafkan orang tersebut. Umar sedekahkan seribu dinar itu kepada baitulmal demi kepentingan umat Islam.

Ketika Umar meninggal dunia, harta beliau hanya tinggal tujuh belas dinar sahaja. Ia dibahagi-bahagikan untuk upah pemakamannya iaitu lima dinar untuk kain kafan, dua dinar untuk tanah perkuburannya dan baki sepuluh dinar dibahagi-bahagikan kepada sebelas orang anaknya.

Maharaja Roman, ketika mendengar tentang kematian Umar bin Abdul Aziz, berkata:

"Seorang yang mulia telah meninggal dunia. Saya tidak hairan kalau melihat seorang yang zudud menolak kemewahan dunia dan menyerah hanya kepada Allah, tetapi saya terkejut apabila seorang yang mempunyai semua kesenangan dunia di kakinya dan namun dia menutup mata terhadapnya dan menjalani kehidupan ketakwaan dengan menolak segala kemewahan duniawi."

Demikianlah kehebatan seorang hamba Allah yang memperolehi kemanisan iman yang tersuci hanya kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita juga dapat berusaha mencontohi akhlak mulianya.



Wallahu'alam

Iktilaf dikalangan umat Islam



Masalah dan kekeliruan dalam masyarakat kita ini adakalanya bukan disebabkan oleh perbincangan bab khilaf secara akademik. Tetapi ia disebabkan oleh orang yang cuba menutup pintu khilaf sedangkan pintu khilaf dalam sesuatu isu sudah terbuka.

Segelintir orang cuba untuk melarang orang berbincang tentang isu khilafiyyah dengan alasan tidak mahu perpecahan. Sebenarnya perpecahan bukan disebabkan bincang isu khilaf tetapi sebab taksub kerana tidak biasa bincang isu khilaf lalu merasakan mazhab dia sahaja yang betul. Fiqh mazhab lain semua salah dan bukan ASWJ. Itu adalah amat bahaya.

Amatlah buruk untuk mengecam orang yang berbeza pandangan dengan kita dengan gelaran dan label yang jelek. Jika perbahasan pasal isu khilaf pun ditentang dan dikecam, bagaimana mungkin orang awam mahu faham isu semasa yang lebih rumit perinciannya?

Terdapat pula segelintir orang mengatakan "Ini isu khilaf, ulamak silam dulu dah lama selesai, kita jangan bahaskan lagi". Akan tetapi orang yang melaungkan slogan ini mereka sendiri gagal berikan apakah pendapat hasil perbahasan ulamak silam tersebut.

Mereka hanya melaungkan slogan "Ini isu khilaf yang sudah selesai dibahaskan ulamak terdahulu" sahaja tanpa mereka mengkaji apakah kesimpulan dari perbahasan ulamak silam tersebut.

Sebab itulah tidak hairan Mishari Al Afasy dituduh sesat dan wahabi hanya kerana beliau tidak membaca bismillah secara jahr sewaktu membaca surah fatihah ketika solat. Walhal itu pendapat Imam Ahmad seperti terdapat dalam kitab tafsir al quran al azhim jilid pertama karangan Imam Ibn Kathir.

Mazhab fiqh ASWJ ini luas. Tidak terhad hanya kepada mazhab empat sahaja. Jika semua khilaf di luar mazhab empat itu salah dan pemilih pandangan itu dianggap jahil tukkir, bagaimana pula dengan polisi kawalan harga barang?

Empat mazhab melarang perbuatan kawalan harga barangan. Yang benarkannya adalah Ibn Taimiyyah jika dibimbangi berlaku mudarat kepada rakyat. Sesat juga? Kalau sesat jangan berurusan di mana-mana perbankan Islam sebab kadar keuntungan juga dikawal oleh Bank Negara.

Kewujudan ilmuwan Islam yang ramai dalam negara kita akan menyebabkan kemunculan banyak perbezaan pandangan. Ia sepatutnya menjadi medan untuk perbahasan ilmial dan percambahan idea, dan bukannya menjadi medan tuduh-menuduh dan sesat menyesatkan selagi pandangan yang dilontarkan masih dalam kerangka fiqh yang diiktiraf oleh Alhli Sunnah.

Sepatutnya kita perlu berbangga kerana negara kita sudah ramai ilmuwan yang ilmu mereka boleh melengkapkan satu sama lain. Allah SWT telah menetapkan cara hidup, perbezaan fahaman dan pendapat sebagai fitrah manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan." (QS 11:118)

Setiap umat beramal dengan tahap keimanan yang berbeza-beza. Setiap manusia melalui kehidupannya dalam keadaan yang berubah-ubah. Fikiran dan fahaman kita sewaktu muda adalah berbeza dengan waktu kita sudah tua. Amalan seorang muallaf dengan amalan seorang mukalaf adalah berbeza. Kita tidak boleh samakan fahaman dan amalan kita dengan orang lain.

Oleh itu, apabila kita menolak perbincangan tentang isu khilafiyyah dan hanya taksub dengan pendapat mazhab tertentu sahaja, maka Islam akan menjadi sempit dan beku. Sebenarnya iktilaf dikalangan umat Islam membawa rahmat yang sangat luas. Ia membenarkan kita membuat pilihan lain yang masih tertakluk dalam kerangka syarak sewaktu dalam keadaan yang mendesakkan.

Umat Islam adalah umat yang satu (ummatan wahidah). Kesatuan umat ini dinyatakan dengan ukhuwah Islamiyah (persaudaraan Islam). Oleh itu, jagalah adab dan berlapanglah dada dalam perkara-perkara khilaf.


Wallahu'alam

Jangan jadi Muslim yang pilih bulu




Sebenarnya saya juga seperti awak, saya juga mempunyai perasaan negatif terhadap banyak perkara. Contohnya seperti syiah, ahmadiyyah, pendusta hadis, anti-hadis, pelaku maksiat, LGBT, puak liberal, puak extremist, penunggang agama, non-muslim yang benci Islam dan sebagainya.

Tetapi, bolehkah kita berdakwah hanya dengan memilih orang yang sebulu dengan kita sahaja? Boleh tak kita berdakwah dengan orang yang sempurna sahaja dan meninggalkan mereka yang bermasalah? Maksudnya, kalau kita tak suka sesuatu puak, maka kita boleh benci dan memulau mereka tanpa menyeru mereka untuk berubah dan beriman kepada Allah SWT?

Walaupun saya tak suka puak-puak tertentu, tetapi saya tak berani sehingga nak membenci mereka dan tidak menyebarkan dakwah kepada mereka. Ini adalah kerana Islam tidak pernah tutup pintuNya kepada sesiapa pun yang ingin kembali kepada jalan Allah SWT. Ingat tak kisah Nabi Yunus as ditelan ikan paus?

Nabi Yunus as ditugaskan untuk berdakwah kepada orang Assyiria di Ninawa-Iraq. Kaum Ninawa adalah kaum yang kejam dan zalim. Mereka adalah penyembah berhala. Nabi Yunus merupakan orang asing (pendatang) yang bukan dari keturunan mereka.

Oleh kerana sifat perkauman (racist), ajaran-ajaran Nabi Yunus ditolak dan dakwah Nabi Yunus tidak sedikitpun mengubah hati kaum Ninawa sehingga membuat Nabi Yunus berputus asa. Maka, Nabi Yunus pun beranggapan bahwa kaum Ninawa tidak akan beriman kepada Allah SWT lalu meninggalkan mereka.

Setelah Nabi Yunus meninggalkan kaum Ninawa, maka terjadilah peristiwa Nabi Yunus ditelan selama 40 hari di dalam perut ikan Nun, sehinggalah Nabi Yunus berdoa, "Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah orang yang telah berbuat zalim".

Nabi Yunus sedar bahwa beliau telah melakukan kezaliman dengan meninggalkan kaum Ninawa. Nabi Yunus tidak sepatutnya putus asa dan meninggalkan kaum Ninawa. Hanya setelah Allah SWT mendengar doa Nabi Yunus, Allah memerintahkan ikan paus itu untuk mendamparkan Nabi Yunus di tepi pantai.

Kisah ini mengajar kita agar jangan sesekali putus asa dan memulau sesuatu puak yang kita tak suka. Tanggungjawab kita adalah berdakwah dan memberi nasihat kepada mereka yang memerlukannya. Islam tidak pernah ajar kita benci dan bersifat discriminasi terhadap golongan yang lemah iman.

Bimbinglah mereka ke jalan yang benar sebagaimana Allah membimbing kita ke sirat al-mustaqim. Sebarkanlah syiar Islam kepada mereka, janganlah menakut-nakutkan mereka sehingga mereka benci Islam seperti apa yang terjadi kepada siti kasim. Apabila mereka telah membenci Islam (kerana kelakuan muslim), mereka akan menjadi penentang Islam.


Wallahu'alam

Boleh tak Muslim berkahwin dengan budak perempuan 11 tahun pada hari ini?




Terdapat hadis yang menyatakan Rasulullah SAW berkahwin dengan Aisyah as ketika umurnya 6 tahun, ada yang kata 7 tahun, ada pula yang kata 9 tahun, dan ada yang kata 11 tahun dsb.

Sebenarnya, terdapat banyak khilaf (perbezaan pendapat) dikalangan ulama-ulama silam mengenai usia sebenar Aisyah as semasa berkahwin dengan Nabi SAW, ada ulama yang kata umurnya 6 tahun dan apa pula yang kata 16 tahun.

Terdapat pula ulama yang bermasalah dengan hadis-hadis tersebut kerana ingatan Hisham bin Urwah, iaitu perawi sulung hadis usia Aisyah as ketika berkahwin dengan Nabi SAW kerana beliau telah berusia tua ketika meriwayatkan hadis tersebut.

Baiklah, just for argument sake, kita ambik pendapat Rasulullah SAW berkahwin dengan Aisyah as ketika umurnya 11 tahun. Saya ingin mengajak kalian semua untuk berfikir sebentar, boleh tak?

1) Jika berkahwin dengan budak perempuan 11 tahun akan dipandang hina dan akan memburukkan reputasi seseorang seperti hari ini, masihkah Rasulullah SAW sanggup berkahwin dengan Aisyah ketika umurnya 11 tahun?

2) Mengapa tiada bantahan dari masyarakat tempatan sebelum dan selepas perkahwinan Rasulullah SAW dengan budak perempuan 11 tahun ketika itu?

3) Mengapa terdapat perbezaan tentang tradisi perkahwinan diantara orang dewasa dengan perempuan bawahan umur pada zaman Rasulullah SAW dengan budaya kita pada hari ini?

Sebenarnya, jawapan kepada ketiga-tiga kemuskilan ini adalah amat mudah sahaja. Rasulullah SAW berkahwin dengan Aisyah ketika umurnya 11 tahun kerana HUKUM URUF pada zaman itu membenarkannya.

Hukum Uruf merupakan salah satu daripada sumber keputusan syariat Islam apabila tiadanya dalil-dalil jelas dari teks al-Quran dan Hadis. Uruf bermaksud perbuatan, pengucapan ataupun amalan yang tidak bercanggah dengan syariat Islam dan tidak membawa kepada kemudaratan, yang lazim diamalkan dalam sesebuah masyarakat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Apa yang dinilai oleh kaum muslimin sebagai baik, maka ia adalah baik di sisi Allah, dan apa yang dinilai buruk oleh kaum muslimin, maka buruklah ia di sisi Allah." (HR Bukhari).

Islam tidak pernah mengetepikan uruf yang mendatangkan kebaikan kepada ummatnya. Uruf ialah budaya masyarakat yang lazim diterima dengan penuh rela dan senang hati. Perkahwinan orang dewasa dengan seorang perempuan bawahan umur adalah perkara biasa pada zaman Nabi SAW.

Berbeza dengan hari ini, perkahwinan lelaki tua dengan perempuan bawahan umur disambut dan diterima dengan secara terbuka dan rela hati pada zaman itu. Tetapi malangnya, tradisi perkahwinan sebegini tidak lagi diterima oleh masyarakat zaman ini.

Malah, masyarakat Islam pun tidak dapat menerima perkahwinan sebegini lagi pada hari ini. Masyarakat Islam mula sedar potensi pendidikan kepada kaum wanita. Masyarakat Islam mula nampak keupayaan seorang wanita yang berpendidikan tinggi yang dapat memajukan dan memanfaatkan masyarakat Islam.

Hari ini, kaum wanita tidak lagi dipandang sebagai makhluk membawang yang sentiasa terkurung dalam dapur. Hari ini wanita boleh jadi seorang doktor, lawyer ataupun engineer yang dapat berbakti kepada bangsa dan negara.

Hari ini, masyarakat sedunia berpendapat bahwa menafikan hak seorang wanita bawahan umur dari melanjutkan pelajaran/pendidikan dengan mengahwinkannya dengan orang tua adalah salah. Ia dinilai buruk oleh masyarakat sedunia, termasuklah kaum muslimin.

URUF hari ini tidak lagi menerima tradisi perkahwinan perempuan bawahan umur dengan ustaz atau pak lebai. Perbuatan sebegini akan dikecam dan dipandang hina oleh semua orang. Oleh itu, HUKUM URUF yang terdapat pada zaman Rasulullah SAW telah bertukar.

Hukum berkahwin dengan perempuan 11 tahun yang diperbolehkan pada zaman dahulu tidak lagi dibenarkan pada zaman ini kerana ia dianggap sebagai perbuatan pedophilia yang menzahirkan nafsu seksual terhadap kanak-kanak. Ia dianggap sebagai suatu penderaan seksual terhadap kanak-kanak bawahan umur.


Wallahu'alam