Search This Blog

Kisah Umar ibni Abd al-Aziz





Umar ibni Abd al-Aziz (682-720) ialah khalifah Ummaiyyah yang memerintah dari tahun 717 hingga tahun 720. Beliau telah menjadi Khalifah selama 30 bulan sahaja tetapi dalam masa yang singkat inilah beliau telah berjaya memakmurkan dan menyatukan umat Islam.

Keadilan dan ketegasan Umar dalam pemerintahannya telah berjaya menjadikan rakyatnya hidup dengan aman dan damai serta makmur dengan kekayaan. Yahya ibn Said pernah meriwayatkan bahwa, Umar telah mengutuskannya ke Afrika Utara untuk membahagi-bahagikan zakat kepada penduduk di sana.

Yahya pun melaksanakan perintah tersebut. Beliau mencari golongan fakir miskin untuk diberikan zakat tetapi tidak menemui seorang pun dan tiada pula orang yang mahu menerima zakat tersebut. Hakikatnya adalah, Umar telah berjaya menjadikan rakyatnya kaya-raya. Akhirnya, Yahya beli beberapa orang hamba dengan harta zakat itu lalu merdekakan mereka.

Umar pernah menghantar utusan pendakwah ke China dan Tibet untuk mengundang penguasa mereka untuk memeluk agama Islam. Umar juga merupakan pemerintah pertama yang mengutuskan pengumpulan hadits yang terdiri dari para tabiin terhebat seperti Abu Bakr ibn Muhammad ibn Hazm dan Ibnu Shihab Al-Zuhri.

Umar menghapuskan jizya dan cukai kerana beliau percaya Nabi Muhammad SAW telah diutus sebagai Nabi yang membawa rahmat kepada umat Islam dan bukan sebagai pemungut cukai.

Diriwayatkan bahwa Umar meninggal dunia kerana diracuni makanannya. Pembaharuan dan perubahan yang dilakukannya menimbulkan kemarahan golongan bangsawan Ummaiyyah yang kemudiannya merasuah seorang hamba untuk meracuni makanannya.

Umar tahu siapa yang meracuninya lalu memanggil orang itu dan hanya tanya berapakah harga ia diupah untuk meracuni beliau. Orang itu kata seribu dinar lalu Umar meminta seribu dinar darinya dan memaafkan orang tersebut. Umar sedekahkan seribu dinar itu kepada baitulmal demi kepentingan umat Islam.

Ketika Umar meninggal dunia, harta beliau hanya tinggal tujuh belas dinar sahaja. Ia dibahagi-bahagikan untuk upah pemakamannya iaitu lima dinar untuk kain kafan, dua dinar untuk tanah perkuburannya dan baki sepuluh dinar dibahagi-bahagikan kepada sebelas orang anaknya.

Maharaja Roman, ketika mendengar tentang kematian Umar bin Abdul Aziz, berkata:

"Seorang yang mulia telah meninggal dunia. Saya tidak hairan kalau melihat seorang yang zudud menolak kemewahan dunia dan menyerah hanya kepada Allah, tetapi saya terkejut apabila seorang yang mempunyai semua kesenangan dunia di kakinya dan namun dia menutup mata terhadapnya dan menjalani kehidupan ketakwaan dengan menolak segala kemewahan duniawi."

Demikianlah kehebatan seorang hamba Allah yang memperolehi kemanisan iman yang tersuci hanya kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita juga dapat berusaha mencontohi akhlak mulianya.



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.