Carilah dan kamu tidak akan jumpa walaupun satu ayat dalam al-Quran yang menyuruh kamu menjaga atau melindungi agama Islam. Ini adalah kerana Islam yang terkandung dalam al-Quran akan sentiasa dilindungi dan dipelihara oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya." (QS 15:9)
Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT melalui malaikat Jibrail kepada Rasulullah SAW untuk mengajar manusia cara hidup Islam. Islam mengajar umatnya bagaimana untuk beribadah kepada Allah SWT. Islam juga mengajar umatnya kaedah-kaedah hidup berinteraksi sesama manusia.
Apa yang tidak diajar oleh Islam adalah keperluan untuk menjaga atau melindungi Islam dari orang-orang kafir. Sebaliknya, Islam memerintah umatnya agar menyebarkan ajaran-ajaran Islam kepada mereka yang bukan Islam.
Oleh itu, saya terasa pelik mengapa ada orang (atau kumpulan) hari-hari dok sibuk kononnya menjaga dan melindungi Islam. Mereka nak melindungi Islam dari apa? Adakah kita perlu melindungi Islam dari Siti Kasim atau LGBT? Adakah kita perlu melindungi Islam dari DAP atau orang kafir? Siapa yang suruh?
Islam tak pernah suruh umatnya melindungi Islam dari Siti Kasim, LGBT, DAP ataupun orang-orang kafir. Malah, Islam suruh kita bawak ajaran Islam kepada mereka, bukan suruh kita lindungi Islam dari mereka atau membenci mereka atau memusuhi mereka.
Apa yang Islam suruh adalah menyebarkan ajaran Islam kepada mereka. Islam tidak memerlukan perlindungan, yang memerlukan perlindungan adalah kita. Firman Allah SWT yang bermaksud:
Katakanlah; "Aku berlindung kepada Tuhan (Allah) yang menciptakan sekalian makhluk, Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan dan dari bahaya gelap apabila ia masuk dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan) dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya." (QS 113:1-5)
Islam mengajar kita bagaimana berdoa dan memohon perlindungan dariNya dan bukan sebaliknya. Islam adalah agama suci Allah SWT yang telah wujud sebelum manusia dan akan kekal wujud selepas manusia pupus. Islam tidak memerlukan perlindungan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran), dan Dia lah jua yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan" (QS 7:196)
Oleh itu, apakah yang perlu umat Islam buat jika ada orang hina Islam atau RasulNya? Islam suruh umatnya beri maaf (kerana tuduhan mereka adalah tidak benar) dan sebarkan dakwah serta jangan hiraukan mereka yang jahil (jika mereka tidak menerima nasihat) sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
"Berikanlah maaf, suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, dan berpalinglah dari orang-orang yang bodoh" (QS 7:199)
Jika Allah berkehendaki maka seluruh manusia akan beriman kepada-Nya kerana untuk melakukan yang demikian adalah mudah bagi-Nya. Namun, Allah SAW tetap mencipta sebahagian manusia beriman dan sebahagian lagi manusia kafir.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya." (QS 10:99)
Tugas kita sebagai seorang Muslim bukanlah menjadi 'the defender of Islam' yang pergi bolot hak keagamaan dan memaksa non-muslim memeluk agama Islam. Tugas kita adalah menyeru, menyebarkan dakwah dan bertawakal kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan." (QS 2:256)
Ujian non-Muslim adalah penerimaan Islam dan beriman tanpa paksaan. Ujian kita selaku Muslim pula adalah berdakwah dan mengislamkan mereka. Contohnya dalam kerangka Malaysia, ratio keagamaan sekarang adalah 60% Muslim dan 40% non-Muslim.
Jika kita giatkan usaha berdakwah, maka akan lebih ramai orang memeluk Islam dan ratio mungkin akan naik sehingga 80:20 atau lebih. Apabila ratio telah sampai 100:0, maka kita tidak perlu risau lagi ancaman murtad, isu salib, isu oktoberfest, isu dobi, isu perkauman, isu pusat perjudian, isu nightclub dan sebagainya.
Segala-gala masalah berpunca dari isu-isu ini kerana kita tidak menunaikan kewajipan dakwah. Suasana kehidupan umat islam tanpa maksiat (darul Islam) pernah wujud seketika pada zaman Rasulullah SAW dan Khalifah al Rashidin.
Malangnya, selepas itu manusia menjadi malas untuk berdakwah kerana hidup terlalu selesa dalam suasana Islam. Lama-kelamaan, rasa tanggung-jawab berdakwah terus hilang dari jiwa umat Islam. Maka, bermulalah era umat Islam membenci, dengki dan bermusuh dengan non-Muslim seperti pada hari ini.
Pada zaman Rasulullah SAW, orang kafir ramai. Baginda SAW dan sahabat berfikir dan berikhtiar bersungguh-sungguh untuk jadikan orang kafir itu beragama islam. Sekarang kita sibuk mengkafirkan orang dan menjauhkan manusia dari Islam.
Apabila kita lalai menyeru manusia kepada Islam, kelak keturunan kita akan hidup dalam suasana darul kafir. Dengan mengundi pemimpin Islam adalah tidak cukup untuk menwujudkan darul Islam. Hanya dakwah sahajalah yang akan dapat mewujudkan darul Islam.
Oleh itu, jika anda tidak mahu keturunan kamu hidup dalam keadaan darul kafir atau suasana yang dipenuhi dengan kegiatan maksiat, maka mulalah berdakwah. Serulah mereka yang bukan Islam agar beriman kepada Allah SWT dengan hikmah dan penuh sabar sebagaimana yang telah diajar oleh Rasulullah SAW.
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.