Search This Blog

Boleh tak Muslim memilih orang yang korup dan zalim jadi Pemimpin?




Saya terbaca dalam satu posting yang menyatakan, "Pemimpin Muslim yang korup dan zalim adalah lebih baik dari Pemimpin non-Muslim yang jujur dan adil."

Dari Abu Sa’id radhiyallahu ‘anhu ia berkata, Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya manusia yang paling dicintai oleh Allah pada hari kiamat dan paling dekat kedudukannya di sisi Allah adalah seorang pemimpin yang adil. Sedangkan orang yang paling dibenci oleh Allah dan paling jauh kedudukannya dari Allah adalah seorang pemimpin yang zalim.” (HR Tirmidzi)

Islam adalah agama yang amat menitik-beratkan ketaatan kepada Pemimpin (ulil-amri). Seorang yang diberi amanah pemimpin memiliki tanggung jawab yang besar dalam mengatur kemaslahatan umat. Pemimpin Islam wajib bersikap amanah, jujur, adil dan beramal soleh (righteous).

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka." (QS 24:55)

Syarat utama bagi seorang pemimpin Islam adalah beriman dan beramal solah. Ini bermaksud, orang-orang yang beriman sahaja tetapi tidak beramal soleh tidak layak jadi pemimpin.

Pemimpin-pemimpin Muslim yang kufur ingkar (buat kezaliman dan kerosakan diatas mukabumi ini) setelah diberi amanah digelar sebagai penderhaka. Mereka telah derhaka kepada perintah Allah SWT.

Pada dasarnya, Islam memerintahkan umatnya untuk saling membantu dalam kebaikan dan sama-sama mengingkari setiap kemungkaran yang ada. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan." (QS 5:2)

Islam melarang kita membantu dan membenarkan pembohongan dan kezaliman para pemerintah. Sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dari umat Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga) dan sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan akan dari kalangannya dan dia akan mendatangkan telaga di syurga. (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan Ibn Abi ‘Asim. Dinilai oleh al-Albani. Lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq: Al-Albani, hlm 337-339).

Jelas di sini bahwa Islam melarang umatnya memilih dan menyokong orang yang korup dan zalim jadi Pemimpin, walaupun mereka adalah Muslim. Batas ketaatan umat Islam kepada pemimpin adalah ketika ia tetap berpegang kepada prinsip-prinsip ushul dalam beragama.

Walhal ketika kita bersolat jemaah dengan imam sekalipun, umat Islam disuruh untuk melaung 'SubhanAllah' jika Imam melakukan kesilapan rukun. Apabila imam ingkar akan teguran kita, maka kita diwajibkan untuk mufarakah (keluar dari jemaah) dengan imam itu.

Walau bagaimanapun, Islam melarang umatnya memberontak ke atas pemerintah walaupun mereka melakukan kezaliman kerana ia akan membawa kepada kemudaratan yang lebih besar (pertumpahan darah).

Umat Islam hanya dibenarkan memberontak dan menggulingkan kerajaan zalim apabila kemenangan memihak kepada umat Islam (bilangan tentera dan senjata melebihi pihak musuh).

Umat Islam juga dibenarkan untuk menjatuhkan kerajaan zalim melalui sistem pengundian tanpa sebarang pertumpahan darah seperti dalam negara kita.

Politik bukanlah ibadah khususiah seperti solat dan puasa yang tidak boleh diubah-tambah. Politik adalah soal pentadbiran dan kaedah untuk menegakkan keadilan dan keamanan dalam kehidupan rakyat berdasarkan prinsip-prinsip umum kemaslahatan dalam Islam.

Banyak negara-negara non-Muslim yang jauh lebih berjaya dalam kerangka penjagaan kemaslahatan yang disebut dalam al-Quran jika dibandingkan dengan negara-negara Islam. Semoga Allah SWT membuka pintu hidayahNya kepada pemimpin-pemimpin mereka.

Pada zaman Rasulullah SAW, orang kafir ramai. Baginda SAW dan sahabat berfikir, macam mana nak jadikan orang kafir itu beragama islam. Setelah mereka jadi Muslim, mereka sanggup berkorban nyawa demi Islam.

Hakikatnya, umat Islam dalam masyarakat kita pada hari ini telah hilang tanggungjawab dakwah/seru mereka yang bukan Islam untuk beriman kepada Allah SWT. Mereka sibuk merebut kuasa dan harta duniawi sehingga sanggup melakukan kezaliman dan penindasan ke atas rakyat.

Apabila rakyat sudah tidak ada pilihan, mereka akan memilih non-Muslim yang jujur dan adil sebagai pemimpin kerana hanya orang-orang yang bodoh tak berakal sahaja yang akan mencampakkan nasib diri dan keluarganya kepada tangan pemimpin-pemimpin zalim.

"...janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (QS 2:195)

Mencampakkan nasib diri dan keluarga kepada tangan pemimpin-pemimpin zalim adalah amat merbahaya. Silap haribulan, anak-anak lelaki kita akan terpaksa ke luar negara kafir jadi khadam dan anak-anak perempuan kita tergadai jadi pelacur kerana ekonomi negara telah dijahanamkan oleh pemimpin-pemimpin korup dan zalim.


Wallahu'alam


Pemimpin Kafir Yang Adil vs Pemimpin Islam Yang Zalim - Ustaz Azhar Idrus



Ruj: BAYAN LINNAS SIRI KE- 129 : MENGUNDI CALON BUKAN MUSLIM DALAM PILIHANRAYA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.