Search This Blog

Sejarah perkembangan Islam di Nusantara



Pernah tak kamu tanya kenapa amalan Islam di Malaysia berbeza dengan amalan-amalan negara lain terutamanya Arab?

Amalan-amalan seperti bacaan surah yasin pada malam jumaat, bersalaman dan selawat selepas solat fardhu, doa beramai-ramai selepas solat fardhu, kenduri tahlil arwah, bersanding tepuk tepung tawar, mandi bunga, jampi serapah pawang, rawatan bomoh, ramalan dan tilikan dukun, penggunaan sihir, pelihara saka, memohon pertolongan jin dll.

Dari mana datangnya amalan-amalan ini? Siapa yang ajar? Untuk memahami asal-usul amalan-amalan Islam budaya Malaysia ini, kita perlu terlebih dahulu memahami sejarah penyebaran dan kedatangan Islam ke nusantara.

Pada mulanya, amat susah bagi Islam untuk masuk dan berkembang di Nusantara. Malah, dalam rekod sejarah, Islam telah mengambil tempoh kira-kira 800 tahun untuk masuk dan berkembang di nusantara.

Catatan dari zaman Dinasti Tang di China menunjukkan bahawa pedagang-pedagang dari Timur Tengah telah datang ke kerajaan Sriwijaya di Sumatra dan Kalingga di Jawa pada tahun 674 AD, iaitu, semasa peralihan kuasa dari khalifah Ali ke Muawiyah.

Pada abad ke-10, sekumpulan orang Parsi suku Lor telah sampai ke Jawa . Mereka tinggal di kawasan Kudus, yang terletak di antara Kota Semarang dan Kota Surabaya. Mereka juga telah membentuk beberapa masyarakat Islam di kawasan lain, seperti di Gresik .

Sejarah batu nisan Fatimah binti Maimun bin Hibatallah di Gresik, yang bertarikh abad ke-10 Masehi, adalah bukti penghijrahan suku-suku Persia ini.

Dalam catatan Marco Polo, beliau telah menceritakan ketika kembali dari China ke Itali pada tahun 1292 M, beliau mengembara ke arah laut ke Teluk Parsi dan berhenti di Perlak , sebuah bandar pelabuhan di Aceh.

Menurut Marco Polo, di Perlak terdapat tiga kelompok, iaitu etnis Cina, yang semuanya Muslim, orang Persia, juga seluruh Muslim dan orang pribumi di pedalaman, yang menyembah pokok, batu, dan roh.

Seratus tahun selepas Marco Polo, Laksamana Zheng He (鄭 和) datang ke Jawa pada tahun 1405 M. Apabila berhenti di Tuban, pantai utara Jawa. Beliau menyatakan terdapat 1,000 keluarga Muslim agama Cina di sana. Di Gresik pula terdapat 1,000 keluarga Muslim Cina, dengan jumlah yang sama dilaporkan di Surabaya.

Ini menunjukkan agama Islam telah lama sampai ke nusantara tetapi tidak berkembang. Menurut sejarah tempatan, perkembangan ajaran Islam hanya berlaku selepas kedatangan walisongo. Walisongo adalah gelaran yang diberi kepada sembilan orang pendakwah (mubaligh Islam).

Sembilan orang pendakwah (nama pendakwah-pendakwah ini khilaf dalam buku sejarah seperti buku Kakawin, sastra kawi dan Babad Tanah Jawi, sejarah tanah jawa) telah berjaya menyebarkan Islam ke seluruh nusantara dalam tempoh 50 tahun. Salah satu faktor utama kejayaan dakwah Walisongo adalah cara mereka mengembangkan tamadun Majapahit.

Sebagai contoh, masyarakat era Kesultanan Demak dibahagikan kepada dua kumpulan utama, pertama kumpulan Gusti, iaitu orang yang tinggal di istana. Kedua, Kumpulan Kawula, orang yang tinggal di luar istana. Gusti bermaksud tuan, Kawula bermaksud hamba dan semua harta benda adalah dimiliki oleh istana.

Walisongo telah menciptakan satu perspektif baru dalam struktur kebudayaan Kesultanan Demak. Mereka telah memperkenalkan struktur komuniti baru yang disebut sebagai "Masyarakat", yang berasal dari istilah Arab Musharaka, yang bermaksud masyarakat yang hidup bersama dan saling bekerjasama.

Istilah masyarakat dan rakyat tidak wujud dalam perbendaharaan kata Jawa ketika itu. Ia adalah istilah baru yang diperkenalkan oleh walisongo dalam dakwah mereka.

Walisongo mengubah semua sebutan diri yang menunjukkan makna hamba, dan menggantikannya dengan istilah ingsun, aku, kulun, atau awak, dan sebutan lain yang tidak mewakili seorang hamba atau orang yang mempunyai status sosial yang lebih rendah.

Ketika itu, dalam perbendaharaan kata-kata Jawa, tidak ada istilah kalah. Ia hanya ada istilah menang atau mati. Oleh itu, jika terdapat pergaduhan, maka kesudahannya hanyalah diantara menang ataupun mati.

Walisongo kemudian memperkenalkan istilah "ngalah" ("NgAllah"). Ia tidak berasal dari perkataan "kalah" seperti dalam bahasa Indonesia. "Ng" yang bermaksud menuju, misalnya: ng-alas (ke arah hutan), ng-awang (ke arah awan), dan perkataan "ngalah" (ke arah ajaran Allah) digunakan sebagai ungkapan dalam menghindari pergaduhan atau konflik (mengalah tanpa bergaduh).

Walisongo juga telah memperkenalkan istilah-istilah baru seperti sabar, adil, tawadhu dll. Ketika itu, warga Gusti (orang istana) adalah beragama Hindu dan Buddha. Manakala kepercayaan warga hamba pula adalah Kapitayan, iaitu agama yang menyembah Sang Hyang Taya.

Taya bermaksud 'kosong'. Sang Hyang Taya ditakrifkan sebagai tuhan yang tidak dapat dilihat atau dibayangkan. Kapitayan adalah agama yang paling awal berkembang di Nusantara.

Dalam kepercayaan agama Kapitayan, perkataan 'TU' bermaksud 'kuasa ghaib' dan ia terbahagi kepada dua kategori, iaitu 'TU' yang baik disebut 'TU-HAN' dan 'TU' yang tak baik (jahat) disebut 'HAN-TU'...

Nilai-nilai keagamaan Kapitayan ini kemudian diubah oleh Walisongo kerana konsep tauhid di Kapitayan pada dasarnya sama dengan konsep tauhid dalam Islam yang mempunyai makna yang sama dengan 'laisa kamitslihi syai'un' (Tidak ada yang seperti Dia - Surah Ash-Syura ayat 11).

Walisongo juga telah menggunakan istilah "Sembahyang" (maksud menyembah Sang Hyang Taya dalam agama Kapitayan) yang membawa maksud 'Solat' dalam Islam. Dari segi tempat untuk ibadah pula, Walisongo menggunakan istilah 'Langgar' untuk mewakili istilah Masjid dalam Islam

Ritual dalam bentuk tidak makan dari pagi hingga malam di Kapitayan, yang dipanggil puasa telah digunakan oleh walisongo untuk mengganti ibadah siyam dalam Islam.

Ketika itu, kerajaan Majapahit mempunyai upacara menghormati 'nenek moyang', iaitu kepada orang tua yang telah mati yang disebut sebagai Shraddha. Salah seorang dari Walisongo yang berasal dari Champa juga mempunyai tradisi yang sama, seperti upacara 3 hari, 7 hari, 10 hari dan 100 hari setelah kematian seseorang. Maka amalan ini telah terkekal dalam budaya nusantara.

Demi dakwah, walisongo atau sembilan orang pendakwah terkenal ini telah banyak menggunakan pendekatan uruf untuk menyebarkan Islam. Agama Islam telah tersebar luas tanpa sebarang peperangan atau kekuatan senjata, bahkan tidak ada satu titisan darah pun yang tertumpah. 

Hanya selepas kedatangan Belanda, maka tercetusnya Perang Diponegoro. Ketika itu Belanda telah kehabisan dana, bahkan mereka berhutang berjuta-juta matawang emas kerana peperangan itu. Setelah tewas dalam peperangan Diponegoro, Belanda telah mengubah sejarahnya (untuk jaga maruah dan ego) dan juga cerita tentang Walisongo, seperti dalam penerbitan kitab Babad Kediri, yang mempunyai banyak cerita palsu dan tahyul.

Selepas penerbitan kitab Babad Kediri, muncul pula kronik buku Darmo Gandul dan Suluk Gatholoco yang ditulis oleh Ngabdullah dari Jawa Timur. Dia telah meninggalkan Islam (murtad) dan kemudian memilih nama Ki Tunggul Wulung dan menetap di Kediri.

Belanda telah mengarang sejarah palsu dan cereka mereka sendiri untuk mengelirukan perjuangan umat Islam. Di dalam kitab Darmo Gandul dan Suluk Gatholoco pula, watak walisongo telah dimanipulasikan menjadi pendekar sakti yang mempunyai kuasa mistik.

Kisah-kisah tahyul kitab Darmo Gandul dan Suluk Gatholoco telah dijadikan tajuk permainan wayang kulit yang ditayang kepada masyarakat umum. Banyak upacara-upacara kebesaran masyarakat Jawa berasal dari sumber ini. Kisah-kisah cereka kuasa mistik kesaktian walisongo tersebar luas ke seluruh pelusuk nusantara sehingga ke hari ini.

Islam yang tersebar ke Malaysia banyak dipengaruhi oleh kisah-kisah tahyul Ki Tunggul Wulung. Contohnya, seperti percaya kiyai-kiyai yang mempunyai kuasa ajaib, mempunyai ilmu laduni, boleh jalan atas air, boleh terbang, boleh berada di beberapa tempat pada masa yang sama dll.

Ramai Muslim di Malaysia yang percaya kuasa ajaib walisongo. Ramai yang percaya walisongo boleh beri mereka kuasa mistik, ilmu kebal, ilmu makrifat dll. Terdapat pula Muslim yang begitu taksub dengan kesucian wali-wali ini sehingga menyebut perkataan wali pun dianggap suatu penghinaan.

Kepercayaan kurafat seperti istiadat tabal jin, istiadat tabal moyang, jampi serapah pawang dan bomoh, ramalan dan tilikan dukun, penggunaan sihir, pelihara saka, kepercayaan pada hantu, memohon pertolongan jin, susuk, air yasin dll masih berleluasa dalam masyarakat kita.

Inilah asal-usul perkembangan Islam dan kepercayaan-kepercayaan tahyul dan kurafat di Malaysia. Banyak amalan-amalan Kaum Tua di Malaysia berasal dari jalur ini, selain dari amalan-amalan dari pendakwah-pendakwah dari negara lain seperti Yemen, Gujarat dan China.

Islam yang dibawa oleh mubaligh-mubaligh Islam ini banyak bercampur aduk dengan seni dan budaya negara masing-masing. Inilah erti istilah di mana Gus Dur (presiden keempat Indonesia) menyebut sebagai "mempribumikan Islam" (Indigenize Islam).

Hari ini kita mempunyai pelajar-pelajar alim tempatan dari universiti-universiti Timur Tengah yang telah mempelajari Islam dari sumber yang asli dan sahih yang digelar sebagai Kaum Muda. Mereka ingin memperbetulkan amalan-amalan kuno yang salah dalam masyarakat kita.

Malangnya usaha mereka telah dipertikaikan oleh kaum tua sehingga diberi pelbagai gelaran jelek seperti salafi-jihadi dan wahabi. Bukan senang nak mengubah fikiran seseorang terutamanya jika fikiran atau amalan itu telah berakar-umbi beratus-ratus tahun.

Walau bagaimanapun, sedikit demi sedikit perubahan telah berlaku dalam masyarakat kita. Amalan-amalan seperti mandi bunga dan tepuk tepung tawar ketika bersanding semakin berkurangan. Masyarakat Islam hari ini amat berwaspada pada sebaran hadis palsu. Umat Islam pula sentiasa berhati-hati dengan amalan yang tiada dalil sahih.

Beginilah sedikit sebanyak yang dapat saya share dengan kalian semua, harap bermanfaat. Semoga Allah swt sentiasa melindungi kita dari amalan-amalan yang sia-sia dan membimbing kita ke jalan yang benar, amin...


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.