Asbabun Nuzul Surah An-Nur ayat 22 - Kisah Mistah bin Uthatha
Sejak umat Islam pulang dari pertempuran Bani al-Mustaliq, orang-orang munafik mula sibuk menyebarkan fitnah terhadap Aisha ra. Fitnah-fitnah ini menjadi subjek perbincangan dan topik perbualan di setiap perhimpunan di Kota Madinah.
Walaupun sebahagian besar umat Islam yang ikhlas yakin Aisha ra. tidak bersalah, tetapi mereka diam dan menunggu kepastian dari Nabi SAW. Pada ketika itu, Nabi SAW juga sedang menunggu wahyu kebenaran dari Allah SWT.
Orang-orang munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubayy giat berterusan menyebarkan fitnah dan dusta terhadap Aisya untuk mengelirukan dan melemahkan semangat umat Islam di Kota Madinah.
Malangnya, sedikit demi sedikit umat Islam mula mempercayai fitnah-fitnah golongan munafik tersebut. Mereka juga mula aktif menyebarkan khabar-khabar fitnah terhadap Aisya.
Antaranya adalah Mistah bin Uthatha ra. sepupu kepada Abu Bakar ra. Beliau adalah seorang lelaki yang miskin, yang sentiasa dibantu oleh Abu Bakar.
Oleh kerana Mistah bin Uthatha mempunyai reputasi yang baik dan beliau adalah diantara mereka yang terlibat dalam perang badar, maka ramai umat Islam mula mempercayainya. Maka, pada ketika itu, Allah SWT pun menurunkan wahyuNya untuk membersihkan nama baik Aisya.
Setelah mengetahui kebenaran, Abu Bakar terasa amat marah terhadap Mistah kerana telah menyebarkan fitnah pada Aisya. Abu Bakar terus bersumpah tidak akan membantu Mistah lagi.
Ramai umat Islam menyokong tindakan Abu Bakar kerana sebelum ini, Mistah bergantung sepenuhnya dengan bantuan Abu Bakar tetapi masih terlibat dengan menyebarkan fitnah terhadap Aisya.
Lantas Allah SWT menurunkan wahyuNya sebagai teguran kepada keduanya. Mistah ditegur dengan hukuman sebat 80 kali atas penglibatannya dalam fitnah Aisya (al-Isabah Fi Ma’rifat al-Sahabah), manakala Abu Bakar ditegur dengan penurunan ayat ini:
"Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dalam kalangan kamu (seperti Abu Bakar), bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah (seperti Mistah bin Uthathah); dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." (QS 24:22).
Setelah ayat ini diturunkan, Abu Bakar segera memaaf dan melupakan kesalahan Mistah dengan kata beliau:
"Demi Allah! Aku sangat mahu Allah mengampunkan dosaku" (Sahih al-Bukhari).
Inilah rahmat dan pengampunan yang diajar oleh Allah SWT. Akan tetapi, apakah yang akan kita lakukan jika berada dalam keadaan yang sama? Konflik dan salah faham akan sentiasa timbul antara kita dengan rakan dan keluarga sepanjang masa. Adakah kita akan memaafkan mereka (tidak kira siapa yang salah) seperti Abu Bakar memaafkan Mistah?
Inginkah kamu memperolehi pengampunan dosa dari Allah SWT?
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.