Search This Blog

Boleh tak ziarah kubur pada hari raya?




Kita perlu berhati-hati apabila membahaskan isu ziarah kubur pada hari raya. Sebelum kita menghukum, kita perlu tentukan penziarah itu pergi ziarah kubur atas faktor ibadah atau muamalat (human to human inter-relationship)

Kalau pergi ziarah kubur atas faktor ibadah seperti bertawasul, sembah moyang, bertafakur atau mewajibkan ziarah kubur pada masa-masa tertentu dll, ini sememangnya dilarang dalam Islam. Akan tetapi, jika pergi ziarah kubur atas sebab-sebab muamalat, maka ia adalah diharuskan.

Kita perlu faham bahwa pada awak, kubur hanyalah tempat tanam orang mati tetapi bagi mereka, kubur itu adalah tempat letaknya orang yang telah berkorban seumur hidup untuk membesarkan mereka. Bagi awak, kubur adalah tempat tanam jenazah. Tetapi bagi dia, kubur itu adalah tempat letaknya orang tercinta yang telah menemaninya sepanjang hidup.

Apabila menjelang hari perayaan, mereka yang baru sahaja kehilangan orang tercinta akan rasa rindu, sedih dan amat berhajat untuk pergi ziarah kubur si dia. Ataupun anak-anak yang baru sahaja kehilangan ibubapa, mereka juga akan ingin bersama arwah orang tuanya semasa hari kebesaran demi cinta dan rindu.

Manusia ada perasaan cinta, rindu dan sedih. Adakah Islam suatu agama yang keras sehingga melarang umatnya menziarah kubur orang yang tercinta pada hari perayaan? Sudah tentulah tidak. Malah, ziarah kubur untuk berinsaf dan mengingati kematian adalah amat dituntut dalam Islam.

Daripada Abu Hurairah R.A dia berkata: "Nabi SAW menziarahi kubur ibunya lalu dia menangis dan orang yang disampingnya juga menangis, kemudian dia bersabda: "Aku meminta izin daripasa Tuhanku untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka Dia (Allah) tidak memberi keizinan kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya maka Dia (Allah) membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian". (HR Muslim)

Oleh itu, menziarahi kubur dengan tujuan mengingati orang tercinta, sanak saudara ataupun sahabat yang telah meninggal dunia adalah diharuskan dalam Islam selagi tidak disertai unsur-unsur ibadah. Janganlah mempertikaikan mereka yang ingin pergi ziarah kubur pada hari raya.

Mungkin kubur yang diziarahinya itu adalah terdiri dari orang tercinta yang baru meninggal dunia. Walau bagaimanapun, kita boleh menasihati mereka yang pergi ziarah kubur pada hari raya itu dengan hikmah agar jangan melakukan perkara yang diluar syariat Islam.



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.