Perkahwinan campur adalah Sunnah Rasulullah SAW dan para Sahabat ra. Para anbiya juga mengamal perkahwinan campur untuk perkembangan kerajaan mereka seperti Nabi Sulaiman as dan Puteri Balqis.
Begitu juga dengan perkahwinan Nabi SAW dan Safiyah bint Huyay. Safiyah dilahirkan di Madinah kepada Huyay ibn Akhtab, ketua Bani Nadir yang beragama Yahudi. Ibu Safiyah, Barrah binti Samawal, adalah dari Bani Quraizah.
Selepas Perang Khaibar, kaum Yahudi menyerah kalah dan Nabi SAW mencadangkan agar Safiyah menganut agama Islam lalu berkahwin dengannya.
Begitu juga dengan kisah Abu Talhah al-Ansari (Zayd ibn Sahl) berkahwin dengan Ummu Sulaym (ar Rumaysa bint Milhan) dengan mahar yang paling mulia di Madinah, iaitu dengan menerima Islam dengan ikhlas dan jujur.
Ketika itu Abu Talhah belum memeluk Islam tetapi Ummu Sulaym sudah Islam. Syarat untuk berkahwin dengan Ummu Sulaym adalah menerima Islam dengan ikhlas dan jujur. Abu Talhah setuju dan dia terus mengucap dua kalimah syahadah.
Setelah memeluk Islam, Abu Talhah meletakkan keupayaan dan kegagahan dirinya untuk berkhidmat kepada Islam. Mahar beratus ribu belum tentu bahagia tetapi mahar keislaman Abu Talhah bakal mendapat syafaat untuk memimpin tangan Ummu Sulaym ke syurga yang kekal bahagia abadi.
Perkahwinan campur bukan lagi perkara asing di Malaysia. Perkahwinan antara Melayu dan Cina telah berlaku sejak zaman Sultan Mansur Shah dan Puteri Hang Li Po lagi, iaitu pada kurun ke-15. Hang Li Po datang ke Tanah Melayu bersama Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam juga beserta 500 pengiring perempuan. Pengiring-pengiring puteri Hang Li Po yang ketika itu menetap di Bukit Cina akhirnya berkahwin dengan orang tempatan dan menghasilkan keturunan baba dan nyonya.
Firman Allah swt yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya”. (Surah Al-Hujurat: ayat 13)
Oleh itu, galakkan perkahwinan campur dan carilah pasangan selain dari bangsa sendiri.
Wallahu'alam
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.