Masalah dan kekeliruan dalam masyarakat kita ini adakalanya bukan disebabkan oleh perbincangan bab khilaf secara akademik. Tetapi ia disebabkan oleh orang yang cuba menutup pintu khilaf sedangkan pintu khilaf dalam sesuatu isu sudah terbuka.
Segelintir orang cuba untuk melarang orang berbincang tentang isu khilafiyyah dengan alasan tidak mahu perpecahan. Sebenarnya perpecahan bukan disebabkan bincang isu khilaf tetapi sebab taksub kerana tidak biasa bincang isu khilaf lalu merasakan mazhab dia sahaja yang betul. Fiqh mazhab lain semua salah dan bukan ASWJ. Itu adalah amat bahaya.
Amatlah buruk untuk mengecam orang yang berbeza pandangan dengan kita dengan gelaran dan label yang jelek. Jika perbahasan pasal isu khilaf pun ditentang dan dikecam, bagaimana mungkin orang awam mahu faham isu semasa yang lebih rumit perinciannya?
Terdapat pula segelintir orang mengatakan "Ini isu khilaf, ulamak silam dulu dah lama selesai, kita jangan bahaskan lagi". Akan tetapi orang yang melaungkan slogan ini mereka sendiri gagal berikan apakah pendapat hasil perbahasan ulamak silam tersebut.
Mereka hanya melaungkan slogan "Ini isu khilaf yang sudah selesai dibahaskan ulamak terdahulu" sahaja tanpa mereka mengkaji apakah kesimpulan dari perbahasan ulamak silam tersebut.
Sebab itulah tidak hairan Mishari Al Afasy dituduh sesat dan wahabi hanya kerana beliau tidak membaca bismillah secara jahr sewaktu membaca surah fatihah ketika solat. Walhal itu pendapat Imam Ahmad seperti terdapat dalam kitab tafsir al quran al azhim jilid pertama karangan Imam Ibn Kathir.
Mazhab fiqh ASWJ ini luas. Tidak terhad hanya kepada mazhab empat sahaja. Jika semua khilaf di luar mazhab empat itu salah dan pemilih pandangan itu dianggap jahil tukkir, bagaimana pula dengan polisi kawalan harga barang?
Empat mazhab melarang perbuatan kawalan harga barangan. Yang benarkannya adalah Ibn Taimiyyah jika dibimbangi berlaku mudarat kepada rakyat. Sesat juga? Kalau sesat jangan berurusan di mana-mana perbankan Islam sebab kadar keuntungan juga dikawal oleh Bank Negara.
Kewujudan ilmuwan Islam yang ramai dalam negara kita akan menyebabkan kemunculan banyak perbezaan pandangan. Ia sepatutnya menjadi medan untuk perbahasan ilmial dan percambahan idea, dan bukannya menjadi medan tuduh-menuduh dan sesat menyesatkan selagi pandangan yang dilontarkan masih dalam kerangka fiqh yang diiktiraf oleh Alhli Sunnah.
Sepatutnya kita perlu berbangga kerana negara kita sudah ramai ilmuwan yang ilmu mereka boleh melengkapkan satu sama lain. Allah SWT telah menetapkan cara hidup, perbezaan fahaman dan pendapat sebagai fitrah manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan." (QS 11:118)
Setiap umat beramal dengan tahap keimanan yang berbeza-beza. Setiap manusia melalui kehidupannya dalam keadaan yang berubah-ubah. Fikiran dan fahaman kita sewaktu muda adalah berbeza dengan waktu kita sudah tua. Amalan seorang muallaf dengan amalan seorang mukalaf adalah berbeza. Kita tidak boleh samakan fahaman dan amalan kita dengan orang lain.
Oleh itu, apabila kita menolak perbincangan tentang isu khilafiyyah dan hanya taksub dengan pendapat mazhab tertentu sahaja, maka Islam akan menjadi sempit dan beku. Sebenarnya iktilaf dikalangan umat Islam membawa rahmat yang sangat luas. Ia membenarkan kita membuat pilihan lain yang masih tertakluk dalam kerangka syarak sewaktu dalam keadaan yang mendesakkan.
Umat Islam adalah umat yang satu (ummatan wahidah). Kesatuan umat ini dinyatakan dengan ukhuwah Islamiyah (persaudaraan Islam). Oleh itu, jagalah adab dan berlapanglah dada dalam perkara-perkara khilaf.
Wallahu'alam
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.