Search This Blog

Jangan jadi Muslim yang pilih bulu




Sebenarnya saya juga seperti awak, saya juga mempunyai perasaan negatif terhadap banyak perkara. Contohnya seperti syiah, ahmadiyyah, pendusta hadis, anti-hadis, pelaku maksiat, LGBT, puak liberal, puak extremist, penunggang agama, non-muslim yang benci Islam dan sebagainya.

Tetapi, bolehkah kita berdakwah hanya dengan memilih orang yang sebulu dengan kita sahaja? Boleh tak kita berdakwah dengan orang yang sempurna sahaja dan meninggalkan mereka yang bermasalah? Maksudnya, kalau kita tak suka sesuatu puak, maka kita boleh benci dan memulau mereka tanpa menyeru mereka untuk berubah dan beriman kepada Allah SWT?

Walaupun saya tak suka puak-puak tertentu, tetapi saya tak berani sehingga nak membenci mereka dan tidak menyebarkan dakwah kepada mereka. Ini adalah kerana Islam tidak pernah tutup pintuNya kepada sesiapa pun yang ingin kembali kepada jalan Allah SWT. Ingat tak kisah Nabi Yunus as ditelan ikan paus?

Nabi Yunus as ditugaskan untuk berdakwah kepada orang Assyiria di Ninawa-Iraq. Kaum Ninawa adalah kaum yang kejam dan zalim. Mereka adalah penyembah berhala. Nabi Yunus merupakan orang asing (pendatang) yang bukan dari keturunan mereka.

Oleh kerana sifat perkauman (racist), ajaran-ajaran Nabi Yunus ditolak dan dakwah Nabi Yunus tidak sedikitpun mengubah hati kaum Ninawa sehingga membuat Nabi Yunus berputus asa. Maka, Nabi Yunus pun beranggapan bahwa kaum Ninawa tidak akan beriman kepada Allah SWT lalu meninggalkan mereka.

Setelah Nabi Yunus meninggalkan kaum Ninawa, maka terjadilah peristiwa Nabi Yunus ditelan selama 40 hari di dalam perut ikan Nun, sehinggalah Nabi Yunus berdoa, "Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah orang yang telah berbuat zalim".

Nabi Yunus sedar bahwa beliau telah melakukan kezaliman dengan meninggalkan kaum Ninawa. Nabi Yunus tidak sepatutnya putus asa dan meninggalkan kaum Ninawa. Hanya setelah Allah SWT mendengar doa Nabi Yunus, Allah memerintahkan ikan paus itu untuk mendamparkan Nabi Yunus di tepi pantai.

Kisah ini mengajar kita agar jangan sesekali putus asa dan memulau sesuatu puak yang kita tak suka. Tanggungjawab kita adalah berdakwah dan memberi nasihat kepada mereka yang memerlukannya. Islam tidak pernah ajar kita benci dan bersifat discriminasi terhadap golongan yang lemah iman.

Bimbinglah mereka ke jalan yang benar sebagaimana Allah membimbing kita ke sirat al-mustaqim. Sebarkanlah syiar Islam kepada mereka, janganlah menakut-nakutkan mereka sehingga mereka benci Islam seperti apa yang terjadi kepada siti kasim. Apabila mereka telah membenci Islam (kerana kelakuan muslim), mereka akan menjadi penentang Islam.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.