Search This Blog

Gerakan Islah oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani



Diantara orang yang mula-mula meniup semangat perjuangan dan menyedarkan orang-orang Islam supaya menentang penjajah demi kemajuan diri, masyarakat, agama dan negara adalah Sayid Jamaluddin Asadabadi.

Beliau merupakan salah seorang pioner pemodenan Islam dan seorang reformis, aktivis politik dan nasionalis Islam di Afghanistan, Iran, Mesir dan Empayar Uthmaniyyah semasa kurun ke-19.

Sayid Jamaluddin Asadabadi lahir pada tahun 1254H/1838M di perkampungan Asad Abad, Kabul, Afghanistan. Beliau mendapat gelaran al-Sayyid kerana bersambung keturunannya dengan Imam at-Tarmizi dan Ali bin Abi Talib.

Semasa Sayid Jamaluddin berada di Mesir, beliau telah bekerjasama dengan Syeikh Muhammad Abduh melalui Gerakan Islah untuk mengubah pemikiran orang-orang Islam dan menyedarkan umat Islam mengenai kewajipan mereka terhadap agama dengan menegakkan syariat Allah.

Idealisme Islah Sayid Jamaluddin adalah seperti berikut:

- Mengembalikan kegemilangan umat Islam seperti zaman Khulafah ar-Rasyidin.

- Membina perpaduan tanpa mengira bangsa dan budaya melalui gagasan “Al-Jamiah Al-Islamiah”.

- Menyeru umat Islam agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan sesuai disemua tempat dan masa.

- Menyedarkan umat Islam keburukan fanatic (taksub) mazhab yang boleh memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

- Memperbetulkan penyelewengan terhadap al-Quran dan al-Hadis.

- Menaikkan semangat perjuangan revolusi menentang penjajahan barat.

Sayid Jamaluddin telah menghasil beberapa kitab ilmiah yang bermutu untuk menyokong gerakan islahnya seperti Al-Amal al-Kamilah, Ar-Radd Ala ad-Dahrain, Al-Kathirat dan Tutimmah al-Bayan fi Tarikh Afghan al-Kathirat.

Diantara kata-kata mutiara Sayid Jamaluddin adalah:

"Seandainya jumlah kamu yang beratus-ratus juta ini, ditakdirkan menjadi lalat dan nyamuk sekalipun, nescaya kamu akan dapat memekakkan telinga-telinga orang Inggeris dengan suara kamu. Seandainya kamu ditakdirkan menjadi labi-labi atau penyu sekalipun, lalu kamu berenang ke tanah Inggeris, bilangan kamu yang seramai ini akan dapat mengepung dan menenggelamkan tanah Inggeris."

Pencetusan gerakan Islah oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh pada 1882 telah mempengaruhi kebangkitan semangat kebangsaan di Tanah Melayu. Golongan pelajar di Tanah Melayu yang mendapat pendidikan di Timur Tengah, khususnya di Mesir telah membangkitkan semangat kebangsaan. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda.

Pada ketika itu, Islam di Malaysia dikuasai oleh Kaum Tua yang enggan menerima pemikiran baru yang bercanggah dengan pemikiran kuno mereka itu yang sudahpun berakar umbi di kalangan masyarakat Melayu. Mereka risau akan munculnya individu yang tidak berkelayakan lalu menggunakan kaedah rujukan dalil untuk menyeleweng.

Kaum Muda menggunakan dalil dan ijtihad untuk menentukan kebenaran dalam agama dan menolak penerimaan secara membuta tuli atau taklid dalam agama. Kaum Tua pula mengatakan bahawa apa-apa yang telah diputuskan oleh ulama silam dan segala-gala yang tertulis dalam kitab wajib diterima begitu sahaja atas alasan bahawa tentulah ilmu ulama silam lebih tinggi dari ulama kontemporari.

Oleh yang demikian, Kaum Tua hanya bertaqlid kepada satu mazhab (Mazhab Syafie). Kaum Muda pula menginginkan seluruh masyarakat Islam lebih selamat dan hampir kepada Al-Quran & as-Sunnah. Kaum Muda berusaha mengajak ummat kembali kepada kefahaman dan perlaksanaan system Islam yang syumul.

Golongan Kaum Muda menggunakan majalah Al-Imam (terbit 1906) sebagai wadah penyalur idea modenisme Islami mereka yang kebanyakannya dicedok daripada majalah Al-Manar yang diterbitkan di Mesir lapan tahun sebelumnya. Menurut Roff (1975: 97), asas pertentangan antara Kaum Muda dengan Kaum Tua ialah soal penentuan kebenaran.

Sebenarnya istilah Kaum Muda ialah gelaran yang diberikan oleh ulama-ulama tradisional (ulama-ulama Kaum Tua) bersama dengan beberapa gelaran lain seperti salafi dan wahabi kepada golongan yang ingin membawa ummat Islam kembali kepada pegangan aqidah dan ibadat yang dipaku dengan dalil sahih.

Diantara tokoh-tokoh yang memperjuangkan idealisme Islah kaum muda ketika itu adalah aTGNA yang mengembangkan institusi-institusi pengajian tafsir di masjid-masjid dan Abdullah al-Qari bin Haji Mohd Salleh, seorang ulama yang bukan sahaja memiliki perpustakaan peribadi yang paling besar di negeri Kelantan, bahkan beliau telah mengarang dan menterjemah lebih daripada 100 buah kitab yang berunsur reformisme.

Perkembangan aliran Islah mendapat tentangan hebat dari kaum tua sehingga hari ini dengan melahirkan persatuan Aswaja yang diketuai oleh Zamihan Al-Ghari. Manakala aliran kaum muda pula telah melahirkan golongan tajdid seperti Dr Maza, Dr Rora, Dr Mazlee Malik, Ustaz Abdul Rashid Idris dan lain-lain.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.