Search This Blog

Lu siapa mau jaga Islam - Part 2




Saya dah cakap, berilah satu ayat al-Quran atau hadis sahih yang suruh umatnya melindungi 'agama Islam'. Perintah untuk saling melindungi sesama muslim banyak tetapi perintah suruh kita melindungi agama Islam, memang tak ada.

Umat Islam diperintah untuk berkorban harta dan nyawa untuk memperkembangkan syiar Islam, bukan melindungi agama Islam. Islam suruh kita berjihad di jalan Allah, beramal soleh dan sebarkan dakwah walaupun terpaksa korban harta dan nyawa...

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? [yaitu] kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu...." (QS 61:11-12)

Maksud berjihad dalam Islam adalah:

1) memerangi diri sendiri (jihadun nafs)
2) apabila umat Islam diserang musuh (baca elok-elok, umat Islam, bukan agama Islam), wajib baginya berperang dan tidak boleh lari dari medan perang (kecuali uzur/tua/tanggungjawab terhadap keluarga dll)

Umat Islam hanya dibenarkan untuk serang balik (self-defence) apabila diserang oleh musuh dalam peperangan. Islam melarang umatnya pi serang kaum kafir tanpa sebab. Dalam peperangan, umat Islam mesti ikut adab peperangan yang telah ditetapkan oleh Nabi SAW seperti dilarang bunuh orang tua, wanita, kanak-kanak dsb.

Walau bagaimanapun, kita perlu faham bahwa, tak kira umat Islam menang atau kalah dalam sesuatu peperangan, Islam tetap akan hidup dan terus berkembang.

Contohnya kisah air bah Nabi Nuh as, walaupun semua orang mati kecuali mereka yg berada diatas bahtera, Islam tetap berkembang. Kaum Nabi Hud as, kaum Nabi Lut as, kaum Nabi Syuaib as, semua dibinasakan oleh Allah, tetapi Islam tetap berkembang sehingga hari ini.

Islam tidak perlu perlindungan atau pemeliharaan kita, Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah dan ia akan dilindungi dan dipelihara oleh Allah sehingga kiamat.

Telah ditakdirkan Islam akan terbahagi kepada 73 golongan dan hanya satu golongan sahaja akan masuk syurga dan 72 golongan yang lain masuk neraka. Walaupun Islam akan terbahagi kepada 73 golongan, Allah tidak pernah suruh kita pi serang 72 golongan yang belen itu (andai-kata kita yakin kita berada dalam golongan yg benar).

Tetapi Islam suruh kita berpegang teguh kepada sunnah Nabi SAW dan iktiqad para sahabat yang sahih walaupun terpaksa gigit sekuat-kuat dengan gigi geraham...

Islam suruh kita berjihad untuk membersihkan hati, berjihad untuk ibadah, berjihad untuk berdakwah, berjihad untuk takwa, berjihad untuk hidup sejahtera, berjihad untuk menghapuskan kefasikkan dalam diri kita dsb...yang tidak disuruh oleh Islam adalah berjihad untuk melindungi Islam...

Andai kata Islam akan lenyap jika kita tidak melindunginya...apabila Islam sudah lenyap (sebelum kiamat), apa akan terjadi dengan manusia-manusia selepas Islam lenyap? Bagaimana mereka nak selamatkan diri dari api neraka? Bagaimana nak hitung pahala-dosa di akhirat kelak?

Islam tak pernah suruh kita melindungi agama yang diturunkan oleh Allah SWT. Katakanlah (sebagai contoh), jika semua orang Arab dan semua orang Melayu mati keseluruhannya dalam dunia ini, Islam tetap akan berkembang maju...

Sebenarnya, hanya ada satu golongan sahaja yang kononnya perlu memelihara dan melindungi Islam. Samalah seperti orang yang berniaga, hanya peniaga-peniaga sahajalah yang akan risau produk jualan mereka hilang atau dikebas orang lain.

Berbeza dengan orang-orang yang beramal...orang-orang yang beramal tak takut kitab perintah amalannya hilang kerana mereka tahu ia tersimpan dan terpelihara di lauh mahfus...

Firman Allah SWT yang bermaksud:
(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ia adalah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz." (QS 85:21-22)

Islam hanya membenarkan umatnya berperang jika diserang oleh penceroboh yang menyerang kampung halaman kita. Jika Allah SWT tidak mendorong umatnya mempertahankan diri (self-defence) apabila diserang, nescaya muslim akan diusir dari kampung halaman mereka dan tempat-tempat ibadah seperti masjid-masjid orang Islam akan dimusnahkan oleh penceroboh.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah".

Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; -

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (QS 22:39-41)

Maksud 'Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya' ialah orang-orang Islam yang diwajibkan untuk berjihad nyawa dan harta dari perceroboh yang menyerang muslim di kampung halaman mereka. Menolong ugama Allah bukan bermaksud mempertahan, melindungi atau memelihara agama Islam.

Allah tidak pernah perintah umatnya mempertahan, melindungi atau memelihara agama Islam dari orang-orang kafir. Allah suruh sebarkan agama Islam kepada mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik." (QS 16:125)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat." (HR Bukhari)

Kalau umat Islam melindungi agama Islam dari non-muslim, bagaimana nak seru mereka ke jalan Allah dan bagaimana nak sampaikan walaupun satu ayat kepada mereka?

Bacalah surah al-Haj dari ayat 39 sehingga ayat 51. Allah izinkan umatNya perang jika diserang oleh penceroboh. Selain dari itu, Allah sendiri akan azab mereka yang hina dan mendustakan agamaNya dan RasulNya. Allah ceritakan bagaimana umat Nabi-Nabi terdahulu diazab kerana menzalimi dan mendustakan RasulNya.



Wallahu'alam




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.