Search This Blog

Discipline beramal dengan hadith-hadith Dha'if dalam fadha'il



Sebelum kita pergi lanjut berkenaan maksud fadha'il a'mal dan bagaimanakah ia sering disalah-guna sesetengah pihak terutamanya ahli bid'ah, adalah baik terlebih dahulu kita lihat apakah hukum beramal dengan hadith Dha'if dalam fadha'il a'mal itu sendiri.

Para ulama berbeza berkenaan boleh atau tidaknya beramal akan hadith-hadith Dha'if dalam fadha'il a'mal kepada dua kelompok, iaitu:

1- Kelompok pertama berpendapat bahawa hadith-hadith Dha'if tidak boleh digunakan secara mutlak termasuklah dalam fadha'il a'mal. Pendapat ini popular dikalangan fuqaha dan ahli hadith Mutaakhkhirin semisal Ibn Taimiah, Ibn al-'Arabi, al-Syatibi, al-Syaukani. Ahmad Syakir, al-Albani dan lainnya.

Terdapat juga antara mereka dari kelompok pertama ini menisbahkan pegangan ini kepada huffaz Mutaqaddimin semisal al-Bukhari, Muslim, Yahya ibn Ma'in, namun ia hanyalah dakwaan ampuh tanpa bukti yang jelas, bahkan bukti-bukti yang sampai menunjukkan sebaliknya.

2- Kelompok kedua berpendapat boleh beramal dengan hadith-hadith Dha'if dalam fadha'il a'mal dengan syarat-syarat yang ketat (kita akan sebutkan syarat-syaratnya kemudian). Ini adalah pegangan para huffaz hadith Mutaqaddimin semisal Abu Hatim, Abu Zur'ah, Ahmad bin Hanbal, Abu Daud, Sufyan al-Thauri, 'Abdul Rahman ibn Mahdi, Yahya ibn Ma'in, bahkan ia juga adalah pegangan al-Bukhari dan Muslim (berdasarkan bukti kuat yang sampai kepada kita). Pendapat kedua inilah pendapat yang rajih (lebih tepat).

Syarat-syarat ketat beramal dengan hadith Dha'if dalam fadha'il a'mal:

Sebagaimana yang telah kita sebutkan sebelum ini, para huffaz Mutaqaddimin membolehkan beramal dengan hadith-hadith Dha'if dalam fadha'il dengan syarat-syarat ketat.

Syarat-syarat ini adalah sebagaimana yang telah dinaskan(disebutkan) mereka dan juga yang dapat difahami dari amalan-amalan mereka dalam berinteraksi dengan hadith-hadith Dha'if dalam fadha'il ini.

Padanya 4 syarat ketat iaitu:

1 - Hadith Dha'if itu mestilah bukan dari jenis Dha'if Syadid (Dha'if Berat)

Yang dimaksudkan dengan Dha'if Syadid atau Dha'if Jiddan ialah pada hadith itu terdapat mereka yang Muttaham, atau Matruk, atau Dha'if Jiddan, atau Mathruh al-Hadith dan semisalnya, Setiap dari jenis-jenis sakit ini tidak dapat menguatkan satu sama lain, bahkan ia lebih melemahkan yang lain, ia umpama tisu "necrosis" dalam badan yang hanya memusnahkan dan membunuh bukan membaiki. Jika satu hadith terdapat mereka yang seperti ini maka ia termasuk dari jenis hadith-hadith Dha'if Syadid dan ia tidak boleh dibuat beramal dalam fadha'il.

Dan untuk mengenal sama ada suatu hadith itu adalah Dha'if Jiddan atau tidak, ia hanya boleh dilakukan oleh mereka yang ahli dalam hadith serta ilmunya, ia tidak mungkin diketahui oleh orang awam.

Oleh sebab itu, ramai ulama menegaskan bahawa beramal dengan hadith Dha'if dalam fadha'il ini terhad untuk para ulama hadith kerana hanya mereka yang mampu membezakan mana hadith Dha'if Jiddan dan mana yang Dha'if Khafif.

2 - Amalan dalam hadith Dha'if itu mestilah mempunyai asal dalam hadith-hadith Sahih, ia tidak membawa amalan baru yang tiada dalam hadith-hadith Sahih, tidak menetapkan sesuatu tatacara khusus atau waktu khusus yang tiada asalnya dalam hadith-hadith Sahih.

3 - Pengamal hadith Dha'if itu tidak meyakini bahawa ganjaran atau ancaman dalam hadith Dha'if itu adalah pasti, sebaliknya ia hanya dilakukan atas sebab berhati-hati.

4 - Pengamal hadith Dha'if itu tidak mempopularkan amalan dari hadith Dha'if itu, kerana ditakuti ganjaran atau ancaman itu akan disalah fahami orang awam yang jahil sebagai satu yang pasti, seterusnya mereka meyakini ia dari Nabi secara pasti.

Wallahu'alam




Benarkah boleh beramal dengan hadis dhaif ?
oleh Dr Rozaimi Ramle

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.