Search This Blog

Jangan jauhi manusia dari Islam



Serulah manusia agar beriman kepada Allah SWT dan bukannya menindas dan menakut-nakutkan mereka dengan hukum hakam pensyariatan Islam. Janganlah jadi penghalang dakwah, iaitu penghalang yang menghalang manusia dari beriman kepada Allah SWT.

"Dan janganlah kamu duduk pada tiap-tiap jalan lalu-lalang, dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang-orang yang beriman dari melalui jalan Allah, dan kamu pula menghendaki supaya jalan Allah itu bengkokterpesong. Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah menjadikan kamu kembang ramai, serta perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Ankabut: QS 29:46)


Ketahuilah kenapa Allah SWT menggunakan masa 23 tahun untuk menurunkan Al Quran kepada Nabi SAW. Dalam 23 tahun itu pula, hukum hakam dan syariat Islam seperti halal haram makanan, aurat dan hijab, arak dll hanya diturunkan selepas 12 tahun perlantikan Rasulullah SAW.

Hukum hakam dan syariat islam hanyalah diturunkan oleh Allah SWT setelah 12 tahun perlantikkan Rasulullah SAW dan bukannya serta merta pada tahun pertama wahyu diturunkan.

Allah SWT telah mengambil masa 12 tahun untuk menetapkan dan memperkukuhkan hati Rasulullah SAW dan umatNya dengan tauhid dan makrifatullah (mengenal Allah) sebelum syariat diturunkan. Allah SWT berfirman:

"Dan orang-orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)?" Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu."(QS 25:32)

Oleh itu, mengapa pula kita pada hari ini nak memaksa-maksa dan menindas mereka yang lemah imannya dengan hukum-hakam feqah? Sebarkanlah ilmu tauhid kepada mereka terdahulu dan janganlah menakut-nakutkan mereka sehingga mereka benci dan menjauhi Islam.

Rasulullah SAW bersabda:
“Yassiruu walaa tu’assiruu, basyiruu walaa tunaffiruu."
(Maksud: ”Permudahlah, jangan dipersulit, berilah kabar gembira, jangan ditakut-takuti.")

Janganlah jadi penghalang kepada manusia untuk beriman kepada Allah SWT. Pamerkanlah akhlak Islam yang Indah supaya mereka yang lemah iman dan belum Islam tertarik dengan keindahan agama ini.

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.