Search This Blog

Tools of Ijtihad : Maslahah



Kehadiran Syariat Islam adalah untuk menghasilkan maslahah kepada manusia keseluruhannya. Dari segi bahasa maslahah bererti kepentingan awam atau kebaikan umum yang berfaedah yang meraihkan manfaat dan menolak kemudaratan.

Menurut imam al-Ghazali maslahah boleh ditakrifkan sebagai manfaat yang berlandaskan hukum syara' untuk pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mengikut peringkat. Syariat Islam adalah dibina di atas asas untuk membawa kebaikan dan menolak keburukan.

Para mujtahidin membahagikan maslahah kepada 3 kategori, iaitu:

1) Maslahah muktabarah (maslahah yang diterima) adalah maslahah yang sabit dengan dalil syara', sama ada dengan nas yang jelas dari al-Quran, sunnah, ijma' atau qiyas.

2) Maslahah mulghah (maslahah yang ditolak atau dibatalkan) adalah sesuatu maslahah yang bertentangan dengan syara'.

3) Maslahah mursalah (maslahah yang tiada bukti penerimaan atau penolakan oleh syara') ialah maslahah yang tidak ada sokongan dalil syara' bagi sesuatu masalah baru dalam Islam. Maslahah mursalah adalah sesuatu maslahah yang tidak berlawanan dengan tuntutan nas syara.

Kaedah qiyas biasa digunakan bagi menentukan sesuatu hukum yang lahir daripada kaedah maslahah mursalah. Diantara contoh maslahah mursalah di zaman sahabat Rasulullah SAW ialah pemilihan Abu Bakar ra. sebagai khalifah selepas kewafatan baginda yang merupakan qiyas dari pesanan rasulullah supaya Abu Bakar ra. mengimamkan solat.

Contoh-contoh lain adalah seperti apabila Abu Bakar dan Uthman Bin Affan mengumpulkan musyaf al-Quran demi kemaslahatan umum; tindakan Umar bin Khattab yang tidak menjalankan hukum hudud memotong tangan pencuri yang mencuri dalam keadaan darurat dan tindakan Abu Bakar terhadap orang-orang yang ingkar membayar zakat.

Syarat-syarat berpegang kepada maslahah mursalah adalah;

1) Maslahah hendaklah berdasarkan kemaslahatan hakiki (pasti menghasilkan kemanfaatan dan menjauhkan kemudharatan yang nyata) dan bukannya dari imaginasi, prasangka atau waham semata-mata.

2) Maslahah mursalah hendaklah berlaku dalam bidang muamalat sahaja (yang tidak bertentangan dengan dalil syara’) dan bukanlah dalam perkara ibadah.

3) Pencapaian kemaslahatan maslahah mursalah adalah bersifat umum dan bukannya kemaslahatan individu atau kumpulan.

Para ulama telah membahagikan maslahah kepada 3 bahagian, iaitu:

1) Maslahah adh-Dharuriyyah - maslahah ini adalah asas dalam kehidpan manusia. Ketiadaannya akan mewujudkan kemudaratan yang nyata dalam kehidupan manusia. Imam asy-Syathibi berkata;

“Ia adalah perkara yang sangat diperlukan dalam menjaga kemaslahatan agama dan dunia. Ketiadaannya akan menyebabkan hidup di dunia ini tidak berjalan dengan sempurna. Bahkan akan mewujudkan kucar-kacir, huru-hara dan kerosakan. Ia juga akan menyebabkan hilangnya nikmat dan kejayaan di akhirat serta akan membawa kerugian yang nyata.”

Maqasid dharuriyyah menggariskan kewujudan lima objektif utama syariah Islam, iaitu:

1. Pemeliharaan agama (hifz al-din)
2. Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)
3. Pemeliharaan akal (hifz al-a’ql)
4. Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)
5. Pemeliharaan harta (hifz al-mal)

Kesemua kepentingan ini dapat keperluan asasi yang amat diperlukan oleh setiap manusia. Seandainya, salah satu daripada keperluan ini tidak dipenuhi, kehidupan manusia akan terjejas dan terpincang.

2) Maslahah al-Hajiyyah - maslahah hajiyyah adalah keperluan manusia bagi menyelesaikan masalah hidup seharian, iaitu kemashlahatan yang diperlukan dalam menyempurnakan kemashlahatan dharuriyyah.

Maslahah hajiyyah melibatkan semua yang diperlukan oleh manusia untuk mewujudkan kemudahan dan kelapangan dalam menjalankan tugas dalam kehidupan harian. Walaupun ianya tidak sampai kepada tahap keperluan asasi dharuriyyah yang boleh menyebabkan kebinasaan hidup manusia (darurat), tetapi ianya diperlukan bagi mengelakkan kesusahan hidup di dalam masyarakat.

3) Maslahah at-Tahsiniyyah - maslahah tahsiniyyah ialah sesuatu yang menyerikan dan memuliakan kehidupan ummah agar dapat memberi imej yang baik kepada Muslim dan Islam. Tanpa maslahah tahsiniyyah, nilai kehidupan manusia akan berada ditahap yang paling hina dan rendah.

Contoh maslahah tahsiniyyah ialah penampilan husnul khuluq (akhlak yang mulia), mengamalkan kebersihan dalam semua perkara ibadah dan muamalat, memakai pakaian cantik dan perhiasan, mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amalan ihsan seperti solat nawafil, buat kebajikan, bersedekah dan sebagainya.

Jumhur ulama usuli menerima maslahah sebagai dalil hukum dan hujah syar’iyyah. Ulama-ulama Malikiyah dan Hanabilah menggangap istihsan sebagai maslahah yang selaras dan sesuai dengan tujuan-tujuan syara’ dalam penetapan hukum. Oleh itu, mengabaikan istihsan adalah sama ertinya dengan mengabaikan maslahah dan mengabaikan maslahah adalah bermaksud mengabaikan kehendak dan tuntutan Syariat Islam (maqasid syariah).

Qawaid Maqasidiyyah (kaedah maqasid syariah) adalah satu kaedah umum yang merangkumi semua bab, semua individu, semua masa dan semua keadaan, dan bukannya untuk bab dan keadaan tertentu sahaja. Ia menjurus kepada tujuan am, iaitu menghasilkan maslahah dan bukannya tujuan juz’iy kepada bab tertentu sahaja. Ia juga menunjukkan bahawa hukum-hukum taklif adalah alat yang disyariahkan oleh syara' dengan tujuan menghasilkan maslahah.

Allah SWT mengutuskan Rasulnya untuk kemaslahatan manusia, maka kemaslahatan (maslahah) adalah jelas dikehendaki syariat, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (QS 21:107)

(huraian lebih lanjut dalam bab maqasid syariah)


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.