Search This Blog

Perkahwinan campur adalah Sunnah Rasulullah SAW




Perkahwinan campur adalah Sunnah Rasulullah SAW dan para Sahabat ra. Para anbiya juga mengamal perkahwinan campur untuk perkembangan kerajaan mereka seperti Nabi Sulaiman as dan Puteri Balqis.

Begitu juga dengan perkahwinan Nabi SAW dan Safiyah bint Huyay. Safiyah dilahirkan di Madinah kepada Huyay ibn Akhtab, ketua Bani Nadir yang beragama Yahudi. Ibu Safiyah, Barrah binti Samawal, adalah dari Bani Quraizah.

Selepas Perang Khaibar, kaum Yahudi menyerah kalah dan Nabi SAW mencadangkan agar Safiyah menganut agama Islam lalu berkahwin dengannya.

Begitu juga dengan kisah Abu Talhah al-Ansari (Zayd ibn Sahl) berkahwin dengan Ummu Sulaym (ar Rumaysa bint Milhan) dengan mahar yang paling mulia di Madinah, iaitu dengan menerima Islam dengan ikhlas dan jujur.

Ketika itu Abu Talhah belum memeluk Islam tetapi Ummu Sulaym sudah Islam. Syarat untuk berkahwin dengan Ummu Sulaym adalah menerima Islam dengan ikhlas dan jujur. Abu Talhah setuju dan dia terus mengucap dua kalimah syahadah.

Setelah memeluk Islam, Abu Talhah meletakkan keupayaan dan kegagahan dirinya untuk berkhidmat kepada Islam. Mahar beratus ribu belum tentu bahagia tetapi mahar keislaman Abu Talhah bakal mendapat syafaat untuk memimpin tangan Ummu Sulaym ke syurga yang kekal bahagia abadi. 

Perkahwinan campur bukan lagi perkara asing di Malaysia. Perkahwinan antara Melayu dan Cina telah berlaku sejak zaman Sultan Mansur Shah dan Puteri Hang Li Po lagi, iaitu pada kurun ke-15. Hang Li Po datang ke Tanah Melayu bersama Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam juga beserta 500 pengiring perempuan. Pengiring-pengiring puteri Hang Li Po yang ketika itu menetap di Bukit Cina akhirnya berkahwin dengan orang tempatan dan menghasilkan keturunan baba dan nyonya.

Firman Allah swt yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya”. (Surah Al-Hujurat: ayat 13)

Oleh itu, galakkan perkahwinan campur dan carilah pasangan selain dari bangsa sendiri.

Wallahu'alam

Sejarah perkembangan Islam di Nusantara



Pernah tak kamu tanya kenapa amalan Islam di Malaysia berbeza dengan amalan-amalan negara lain terutamanya Arab?

Amalan-amalan seperti bacaan surah yasin pada malam jumaat, bersalaman dan selawat selepas solat fardhu, doa beramai-ramai selepas solat fardhu, kenduri tahlil arwah, bersanding tepuk tepung tawar, mandi bunga, jampi serapah pawang, rawatan bomoh, ramalan dan tilikan dukun, penggunaan sihir, pelihara saka, memohon pertolongan jin dll.

Dari mana datangnya amalan-amalan ini? Siapa yang ajar? Untuk memahami asal-usul amalan-amalan Islam budaya Malaysia ini, kita perlu terlebih dahulu memahami sejarah penyebaran dan kedatangan Islam ke nusantara.

Pada mulanya, amat susah bagi Islam untuk masuk dan berkembang di Nusantara. Malah, dalam rekod sejarah, Islam telah mengambil tempoh kira-kira 800 tahun untuk masuk dan berkembang di nusantara.

Catatan dari zaman Dinasti Tang di China menunjukkan bahawa pedagang-pedagang dari Timur Tengah telah datang ke kerajaan Sriwijaya di Sumatra dan Kalingga di Jawa pada tahun 674 AD, iaitu, semasa peralihan kuasa dari khalifah Ali ke Muawiyah.

Pada abad ke-10, sekumpulan orang Parsi suku Lor telah sampai ke Jawa . Mereka tinggal di kawasan Kudus, yang terletak di antara Kota Semarang dan Kota Surabaya. Mereka juga telah membentuk beberapa masyarakat Islam di kawasan lain, seperti di Gresik .

Sejarah batu nisan Fatimah binti Maimun bin Hibatallah di Gresik, yang bertarikh abad ke-10 Masehi, adalah bukti penghijrahan suku-suku Persia ini.

Dalam catatan Marco Polo, beliau telah menceritakan ketika kembali dari China ke Itali pada tahun 1292 M, beliau mengembara ke arah laut ke Teluk Parsi dan berhenti di Perlak , sebuah bandar pelabuhan di Aceh.

Menurut Marco Polo, di Perlak terdapat tiga kelompok, iaitu etnis Cina, yang semuanya Muslim, orang Persia, juga seluruh Muslim dan orang pribumi di pedalaman, yang menyembah pokok, batu, dan roh.

Seratus tahun selepas Marco Polo, Laksamana Zheng He (鄭 和) datang ke Jawa pada tahun 1405 M. Apabila berhenti di Tuban, pantai utara Jawa. Beliau menyatakan terdapat 1,000 keluarga Muslim agama Cina di sana. Di Gresik pula terdapat 1,000 keluarga Muslim Cina, dengan jumlah yang sama dilaporkan di Surabaya.

Ini menunjukkan agama Islam telah lama sampai ke nusantara tetapi tidak berkembang. Menurut sejarah tempatan, perkembangan ajaran Islam hanya berlaku selepas kedatangan walisongo. Walisongo adalah gelaran yang diberi kepada sembilan orang pendakwah (mubaligh Islam).

Sembilan orang pendakwah (nama pendakwah-pendakwah ini khilaf dalam buku sejarah seperti buku Kakawin, sastra kawi dan Babad Tanah Jawi, sejarah tanah jawa) telah berjaya menyebarkan Islam ke seluruh nusantara dalam tempoh 50 tahun. Salah satu faktor utama kejayaan dakwah Walisongo adalah cara mereka mengembangkan tamadun Majapahit.

Sebagai contoh, masyarakat era Kesultanan Demak dibahagikan kepada dua kumpulan utama, pertama kumpulan Gusti, iaitu orang yang tinggal di istana. Kedua, Kumpulan Kawula, orang yang tinggal di luar istana. Gusti bermaksud tuan, Kawula bermaksud hamba dan semua harta benda adalah dimiliki oleh istana.

Walisongo telah menciptakan satu perspektif baru dalam struktur kebudayaan Kesultanan Demak. Mereka telah memperkenalkan struktur komuniti baru yang disebut sebagai "Masyarakat", yang berasal dari istilah Arab Musharaka, yang bermaksud masyarakat yang hidup bersama dan saling bekerjasama.

Istilah masyarakat dan rakyat tidak wujud dalam perbendaharaan kata Jawa ketika itu. Ia adalah istilah baru yang diperkenalkan oleh walisongo dalam dakwah mereka.

Walisongo mengubah semua sebutan diri yang menunjukkan makna hamba, dan menggantikannya dengan istilah ingsun, aku, kulun, atau awak, dan sebutan lain yang tidak mewakili seorang hamba atau orang yang mempunyai status sosial yang lebih rendah.

Ketika itu, dalam perbendaharaan kata-kata Jawa, tidak ada istilah kalah. Ia hanya ada istilah menang atau mati. Oleh itu, jika terdapat pergaduhan, maka kesudahannya hanyalah diantara menang ataupun mati.

Walisongo kemudian memperkenalkan istilah "ngalah" ("NgAllah"). Ia tidak berasal dari perkataan "kalah" seperti dalam bahasa Indonesia. "Ng" yang bermaksud menuju, misalnya: ng-alas (ke arah hutan), ng-awang (ke arah awan), dan perkataan "ngalah" (ke arah ajaran Allah) digunakan sebagai ungkapan dalam menghindari pergaduhan atau konflik (mengalah tanpa bergaduh).

Walisongo juga telah memperkenalkan istilah-istilah baru seperti sabar, adil, tawadhu dll. Ketika itu, warga Gusti (orang istana) adalah beragama Hindu dan Buddha. Manakala kepercayaan warga hamba pula adalah Kapitayan, iaitu agama yang menyembah Sang Hyang Taya.

Taya bermaksud 'kosong'. Sang Hyang Taya ditakrifkan sebagai tuhan yang tidak dapat dilihat atau dibayangkan. Kapitayan adalah agama yang paling awal berkembang di Nusantara.

Dalam kepercayaan agama Kapitayan, perkataan 'TU' bermaksud 'kuasa ghaib' dan ia terbahagi kepada dua kategori, iaitu 'TU' yang baik disebut 'TU-HAN' dan 'TU' yang tak baik (jahat) disebut 'HAN-TU'...

Nilai-nilai keagamaan Kapitayan ini kemudian diubah oleh Walisongo kerana konsep tauhid di Kapitayan pada dasarnya sama dengan konsep tauhid dalam Islam yang mempunyai makna yang sama dengan 'laisa kamitslihi syai'un' (Tidak ada yang seperti Dia - Surah Ash-Syura ayat 11).

Walisongo juga telah menggunakan istilah "Sembahyang" (maksud menyembah Sang Hyang Taya dalam agama Kapitayan) yang membawa maksud 'Solat' dalam Islam. Dari segi tempat untuk ibadah pula, Walisongo menggunakan istilah 'Langgar' untuk mewakili istilah Masjid dalam Islam

Ritual dalam bentuk tidak makan dari pagi hingga malam di Kapitayan, yang dipanggil puasa telah digunakan oleh walisongo untuk mengganti ibadah siyam dalam Islam.

Ketika itu, kerajaan Majapahit mempunyai upacara menghormati 'nenek moyang', iaitu kepada orang tua yang telah mati yang disebut sebagai Shraddha. Salah seorang dari Walisongo yang berasal dari Champa juga mempunyai tradisi yang sama, seperti upacara 3 hari, 7 hari, 10 hari dan 100 hari setelah kematian seseorang. Maka amalan ini telah terkekal dalam budaya nusantara.

Demi dakwah, walisongo atau sembilan orang pendakwah terkenal ini telah banyak menggunakan pendekatan uruf untuk menyebarkan Islam. Agama Islam telah tersebar luas tanpa sebarang peperangan atau kekuatan senjata, bahkan tidak ada satu titisan darah pun yang tertumpah. 

Hanya selepas kedatangan Belanda, maka tercetusnya Perang Diponegoro. Ketika itu Belanda telah kehabisan dana, bahkan mereka berhutang berjuta-juta matawang emas kerana peperangan itu. Setelah tewas dalam peperangan Diponegoro, Belanda telah mengubah sejarahnya (untuk jaga maruah dan ego) dan juga cerita tentang Walisongo, seperti dalam penerbitan kitab Babad Kediri, yang mempunyai banyak cerita palsu dan tahyul.

Selepas penerbitan kitab Babad Kediri, muncul pula kronik buku Darmo Gandul dan Suluk Gatholoco yang ditulis oleh Ngabdullah dari Jawa Timur. Dia telah meninggalkan Islam (murtad) dan kemudian memilih nama Ki Tunggul Wulung dan menetap di Kediri.

Belanda telah mengarang sejarah palsu dan cereka mereka sendiri untuk mengelirukan perjuangan umat Islam. Di dalam kitab Darmo Gandul dan Suluk Gatholoco pula, watak walisongo telah dimanipulasikan menjadi pendekar sakti yang mempunyai kuasa mistik.

Kisah-kisah tahyul kitab Darmo Gandul dan Suluk Gatholoco telah dijadikan tajuk permainan wayang kulit yang ditayang kepada masyarakat umum. Banyak upacara-upacara kebesaran masyarakat Jawa berasal dari sumber ini. Kisah-kisah cereka kuasa mistik kesaktian walisongo tersebar luas ke seluruh pelusuk nusantara sehingga ke hari ini.

Islam yang tersebar ke Malaysia banyak dipengaruhi oleh kisah-kisah tahyul Ki Tunggul Wulung. Contohnya, seperti percaya kiyai-kiyai yang mempunyai kuasa ajaib, mempunyai ilmu laduni, boleh jalan atas air, boleh terbang, boleh berada di beberapa tempat pada masa yang sama dll.

Ramai Muslim di Malaysia yang percaya kuasa ajaib walisongo. Ramai yang percaya walisongo boleh beri mereka kuasa mistik, ilmu kebal, ilmu makrifat dll. Terdapat pula Muslim yang begitu taksub dengan kesucian wali-wali ini sehingga menyebut perkataan wali pun dianggap suatu penghinaan.

Kepercayaan kurafat seperti istiadat tabal jin, istiadat tabal moyang, jampi serapah pawang dan bomoh, ramalan dan tilikan dukun, penggunaan sihir, pelihara saka, kepercayaan pada hantu, memohon pertolongan jin, susuk, air yasin dll masih berleluasa dalam masyarakat kita.

Inilah asal-usul perkembangan Islam dan kepercayaan-kepercayaan tahyul dan kurafat di Malaysia. Banyak amalan-amalan Kaum Tua di Malaysia berasal dari jalur ini, selain dari amalan-amalan dari pendakwah-pendakwah dari negara lain seperti Yemen, Gujarat dan China.

Islam yang dibawa oleh mubaligh-mubaligh Islam ini banyak bercampur aduk dengan seni dan budaya negara masing-masing. Inilah erti istilah di mana Gus Dur (presiden keempat Indonesia) menyebut sebagai "mempribumikan Islam" (Indigenize Islam).

Hari ini kita mempunyai pelajar-pelajar alim tempatan dari universiti-universiti Timur Tengah yang telah mempelajari Islam dari sumber yang asli dan sahih yang digelar sebagai Kaum Muda. Mereka ingin memperbetulkan amalan-amalan kuno yang salah dalam masyarakat kita.

Malangnya usaha mereka telah dipertikaikan oleh kaum tua sehingga diberi pelbagai gelaran jelek seperti salafi-jihadi dan wahabi. Bukan senang nak mengubah fikiran seseorang terutamanya jika fikiran atau amalan itu telah berakar-umbi beratus-ratus tahun.

Walau bagaimanapun, sedikit demi sedikit perubahan telah berlaku dalam masyarakat kita. Amalan-amalan seperti mandi bunga dan tepuk tepung tawar ketika bersanding semakin berkurangan. Masyarakat Islam hari ini amat berwaspada pada sebaran hadis palsu. Umat Islam pula sentiasa berhati-hati dengan amalan yang tiada dalil sahih.

Beginilah sedikit sebanyak yang dapat saya share dengan kalian semua, harap bermanfaat. Semoga Allah swt sentiasa melindungi kita dari amalan-amalan yang sia-sia dan membimbing kita ke jalan yang benar, amin...


Wallahu'alam

Jangan berdusta



Janganlah sekali-kali mengkhianati kepercayaan yang diberikan kepada anda, kerana apabila ia hilang, ia tidak akan dapat dikembalikan. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang pendusta." (QS 16:105)

Dusta merupakan perbuatan yang terlarang dalam Islam dan semua kebudayaan. Bahkan, masyarakat jahiliyah pun menganggap dusta sebagai perbuatan yang terkutuk. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tanda orang yang munafik ada tiga: jika berkata dia dusta, jika berjanji dia ingkari, dan jika diamanahi dia khianat.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ibnu al-Qayyim berkata: "Barangsiapa yang tidak jujur, nescaya ia akan gagal dan binasa. Dengan sifat jujur inilah yang akan membezakan antara orang-orang munafik dengan orang-orang beriman dan akan membezakan antara penghuni syurga dengan penghuni neraka." (Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari)

Dusta adalah perbuatan haram yang akan menjauhkan keimanan umat Islam. Dusta adalah perbuatan maksiat yang menimbulkan dosa besar sebab pengkhianatan terhadap kepercayaan orang lain. Mencari rezeki dengan jalan dusta tidak akan mendapat keberkatan.

Setiap hamba Allah tentu akan diuji dengan pelbagai ujian untuk mengetahui kadar keimanan mereka (QS 29:2-3). Orang yang ketika mendapat ujian tetapi tidak mampu berpegang teguh pada syariat islam dan berdusta untuk mencari jalan keluar pasti dilaknat Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Janganlah kamu menipu hak-hak orang lain dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakkan di atas mukabumi ini." (QS 26:183)


Wallahu'alam

Adakah khunsa dan intersex disifatkan sebagai transgender?



Saya dapati ramai yang menghukum LGBT sebenarnya tak faham apa itu LGBT. Masalah masuk tandas wanita yang ditimbulkan oleh Dato' Dr. Mujahid bin Yusof tak ada kena mengena dengan lesbian, gay dan bisexual (LGB) tetapi hanya pada transgender (T) sahaja.

Kehidupan seorang LGB adalah seperti manusia biasa. Mereka berpakaian biasa mengikut jantina seperti kita juga. Apa yang berbeza adalah orentasi seks mereka yang bersifat heteroseksual, homoseksual, biseksual, aseksual atau sebagainya. Seorang LGB tidak mungkin beritahu orientasi seksual mereka kepada masyarakat umum.

Oleh itu, kecuali anda adalah sexual partner mereka, atau anda pernah menjalin hubungan sejenis dengan mereka atau anda pernah tangkap basah ketika mereka sedang berzina atau meliwat, anda tidak mungkin ketahui siapa itu LGB yang sebenarnya. Atau mungkin awak main agak-agak (pra-sangka) sahaja.

Yang menjadi masalah adalah transgender yang masuk tandas wanita. Lesbian dan wanita bisexual sememangnya akan masuk tandas wanita kerana mereka adalah 100% wanita. Gay dan bisexual lelaki tidak mungkin masuk tandas wanita kerana mereka adalah lelaki. Yang masuk tandas wanita adalah transgender sahaja.

Selain dari faktor pilihan sendiri, terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan seseorang itu terkeliru dengan jantina asal mereka. Salah satu daripada faktor yang telah dikenalpasti oleh pakar perubatan yang menyebabkan seseorang itu jadi transgender adalah bersifat semulajadi (fitrah).

Transgender adalah individu yang mungkin bertindak, berfikir, mempunyai perasaan atau mempunyai ketampilan yang berbeza daripada jantina lahir mereka. Transgender bukan orientasi seks kerana seseorang transgender mungkin seorang yang heteroseksual (seksual secara fitrah dengan jantina yang berbeza) yang hanya mempunyai ciri-ciri kewanitaan.

Selain dari itu, diantara mereka yang termasuk dalam kategori transgender adalah golongan intersex dan hermaphrodite. Individu interseks dan hermaphrodite mempunyai kedua-dua ciri biologi jantina lelaki dan perempuan. Golongan hermaphrodite mempunyai kedua-dua jenis alat kelamin iaitu jantan dan betina.

Dari sini jelas diketahui bahwa transgender terbahagi kepada beberapa golongan yang berlainan, iaitu:

1) Transgender yang bersifat heteroseksual atau lebih dikenali sebagai cross-dresser.

- Cross-dressing is the act of wearing items of clothing and other items commonly associated with the opposite sex within a particular society.

2) Transgender yang bersifat homoseksual, biseksual, aseksual atau sebagainya yang bersifat LGB.

- Sexual orientation describes an individual's enduring physical, romantic, emotional, or spiritual attraction to another person, while gender identity is one's personal sense of being a man or a woman.

3) Transgender yang terdiri dari golongan intersex atau dikenali sebagai 'keinterseksan' dalam bidang perubatan. Mereka adalah individu yang mempunyai biologi jantina (anomali kromosom) yang tidak dapat dikelaskan sebagai lelaki mahupun perempuan.

4) Transgender yang terdiri dari golongan hermaphrodite atau lebih dikenali sebagai khunsa. Secara biologi, khunsa atau hermafrodit merujuk kepada individu yang memiliki kedua-dua jenis alat kelamin iaitu jantan dan betina.

Menurut pakar perubatan, kebanyakkan kes transgender adalah terikat dengan masalah anomali kromosom atau penyimpangan daripada perwakilan XX=wanita atau XY=lelaki. Anomali ini menjejaskan idenditi jantina mereka. Banyak kajian scientific telah dibuat untuk mengenal pasti fakta ini.

Ramai umat Islam yang berpendapat bahwa khunsa bukan transgender kerana khunsa diiktiraf dalam agama, manakala transgender adalah haram. Sebenarnya ini adalah pendapat yang salah.

Khunsa atau hermafrodit adalah merujuk kepada individu yang memiliki kedua-dua jenis alat kelamin iaitu jantan dan betina. Fiqh Islam membahagikan khunsa kepada dua keadaan, iaitu khunsa wadih dan khunsa musykil.

Khunsa wadih adalah seseorang yang mempunyai dua alat kelamin (zakar dan faraj) dan bagi sesetengah khunsa, salah satu alat kelamin berkenaan berfungsi. Sebaliknya, khunsa musykil adalah seseorang yang tidak dapat ditentukan jantinanya kerana fungsi kedua-dua alat kelamin tidak jelas.

Timbulnya masalah apabila keluarga tersalah pilih jantina untuk membesarkan anak khunsa mereka itu. Maksudnya, ibupaba tersilap membesarkan anak khunsa yang bersifat wanita sebagai anak lelaki (atau sebaliknya).

Dalam kes sebegini, apabila anak khunsa telah dewasa, mereka akan terasa terperangkap dalam badan jantina yang salah. Oleh itu, mereka akan mula bersifat sebagai seorang transgender. Dan akhirnya mereka akan tukar jantina untuk menyesuaikan sifat asal mereka.

Lebih malang lagi apabila ibubapa bawa anak khunsa pergi pakar bedah untuk buang salah satu dari alat kelamin anaknya itu ketika mereka masih bayi. Ibubapa beranggapan bahwa tindakan ini akan menyelamatkan jantina anak khunsa itu tetapi mereka silap.

Perbuatan bedah salah satu daripada alat kelamin bayi khunsa hanya mempunyai 50% peluang betul. Ia adalah ibarat meneka/berjudi (pra-sangka) jantina bayi khunsa itu. Hakikatnya adalah ramai ibubapa telah tersalah pilih yang mengakibatkan anak mereka jadi transgender.

Walaupun bilangan khunsa adalah sedikit tetapi kita tidak boleh menafikan kehadiran mereka dikalangan pondan/maknyah. Apabila kita menghukum transgender secara pukal dan membabi-buta, ia adalah termasuk golongan khunsa dan golongan intersex (kecacatan kromosom) yang dilahirkan semulajadi/fitrah.

Oleh itu, apabila kita mengeluarkan hukum untuk sesuatu perkara, janganlah hukum secara pukal dan membabi-buta. Sila pastikan pengenalan dan keadaan subjek itu terlebih dahulu sebelum berhukum untuk mengelakkan penindasan dan fitnah. Serulah mereka yang terlajak dan tersesat jalan itu agar balik ke pangkal jalan dengan beriman kepada Allah SWT.

Serulah mereka dengan penuh sabar dan hikmah dan janganlah kamu memaki-maki, menindas, ungkit perkara-perkara yang sensitif atau menggunakan keganasan ketika berdakwah. Islam mengajar kita menjalin hubungan baik, saling hormat-menghormati serta bertoleransi sesama manusia dan bukannya bersikap angkuh dan biadap.


Wallahu'alam

Gerakan Islah oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani



Diantara orang yang mula-mula meniup semangat perjuangan dan menyedarkan orang-orang Islam supaya menentang penjajah demi kemajuan diri, masyarakat, agama dan negara adalah Sayid Jamaluddin Asadabadi.

Beliau merupakan salah seorang pioner pemodenan Islam dan seorang reformis, aktivis politik dan nasionalis Islam di Afghanistan, Iran, Mesir dan Empayar Uthmaniyyah semasa kurun ke-19.

Sayid Jamaluddin Asadabadi lahir pada tahun 1254H/1838M di perkampungan Asad Abad, Kabul, Afghanistan. Beliau mendapat gelaran al-Sayyid kerana bersambung keturunannya dengan Imam at-Tarmizi dan Ali bin Abi Talib.

Semasa Sayid Jamaluddin berada di Mesir, beliau telah bekerjasama dengan Syeikh Muhammad Abduh melalui Gerakan Islah untuk mengubah pemikiran orang-orang Islam dan menyedarkan umat Islam mengenai kewajipan mereka terhadap agama dengan menegakkan syariat Allah.

Idealisme Islah Sayid Jamaluddin adalah seperti berikut:

- Mengembalikan kegemilangan umat Islam seperti zaman Khulafah ar-Rasyidin.

- Membina perpaduan tanpa mengira bangsa dan budaya melalui gagasan “Al-Jamiah Al-Islamiah”.

- Menyeru umat Islam agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan sesuai disemua tempat dan masa.

- Menyedarkan umat Islam keburukan fanatic (taksub) mazhab yang boleh memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

- Memperbetulkan penyelewengan terhadap al-Quran dan al-Hadis.

- Menaikkan semangat perjuangan revolusi menentang penjajahan barat.

Sayid Jamaluddin telah menghasil beberapa kitab ilmiah yang bermutu untuk menyokong gerakan islahnya seperti Al-Amal al-Kamilah, Ar-Radd Ala ad-Dahrain, Al-Kathirat dan Tutimmah al-Bayan fi Tarikh Afghan al-Kathirat.

Diantara kata-kata mutiara Sayid Jamaluddin adalah:

"Seandainya jumlah kamu yang beratus-ratus juta ini, ditakdirkan menjadi lalat dan nyamuk sekalipun, nescaya kamu akan dapat memekakkan telinga-telinga orang Inggeris dengan suara kamu. Seandainya kamu ditakdirkan menjadi labi-labi atau penyu sekalipun, lalu kamu berenang ke tanah Inggeris, bilangan kamu yang seramai ini akan dapat mengepung dan menenggelamkan tanah Inggeris."

Pencetusan gerakan Islah oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh pada 1882 telah mempengaruhi kebangkitan semangat kebangsaan di Tanah Melayu. Golongan pelajar di Tanah Melayu yang mendapat pendidikan di Timur Tengah, khususnya di Mesir telah membangkitkan semangat kebangsaan. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda.

Pada ketika itu, Islam di Malaysia dikuasai oleh Kaum Tua yang enggan menerima pemikiran baru yang bercanggah dengan pemikiran kuno mereka itu yang sudahpun berakar umbi di kalangan masyarakat Melayu. Mereka risau akan munculnya individu yang tidak berkelayakan lalu menggunakan kaedah rujukan dalil untuk menyeleweng.

Kaum Muda menggunakan dalil dan ijtihad untuk menentukan kebenaran dalam agama dan menolak penerimaan secara membuta tuli atau taklid dalam agama. Kaum Tua pula mengatakan bahawa apa-apa yang telah diputuskan oleh ulama silam dan segala-gala yang tertulis dalam kitab wajib diterima begitu sahaja atas alasan bahawa tentulah ilmu ulama silam lebih tinggi dari ulama kontemporari.

Oleh yang demikian, Kaum Tua hanya bertaqlid kepada satu mazhab (Mazhab Syafie). Kaum Muda pula menginginkan seluruh masyarakat Islam lebih selamat dan hampir kepada Al-Quran & as-Sunnah. Kaum Muda berusaha mengajak ummat kembali kepada kefahaman dan perlaksanaan system Islam yang syumul.

Golongan Kaum Muda menggunakan majalah Al-Imam (terbit 1906) sebagai wadah penyalur idea modenisme Islami mereka yang kebanyakannya dicedok daripada majalah Al-Manar yang diterbitkan di Mesir lapan tahun sebelumnya. Menurut Roff (1975: 97), asas pertentangan antara Kaum Muda dengan Kaum Tua ialah soal penentuan kebenaran.

Sebenarnya istilah Kaum Muda ialah gelaran yang diberikan oleh ulama-ulama tradisional (ulama-ulama Kaum Tua) bersama dengan beberapa gelaran lain seperti salafi dan wahabi kepada golongan yang ingin membawa ummat Islam kembali kepada pegangan aqidah dan ibadat yang dipaku dengan dalil sahih.

Diantara tokoh-tokoh yang memperjuangkan idealisme Islah kaum muda ketika itu adalah aTGNA yang mengembangkan institusi-institusi pengajian tafsir di masjid-masjid dan Abdullah al-Qari bin Haji Mohd Salleh, seorang ulama yang bukan sahaja memiliki perpustakaan peribadi yang paling besar di negeri Kelantan, bahkan beliau telah mengarang dan menterjemah lebih daripada 100 buah kitab yang berunsur reformisme.

Perkembangan aliran Islah mendapat tentangan hebat dari kaum tua sehingga hari ini dengan melahirkan persatuan Aswaja yang diketuai oleh Zamihan Al-Ghari. Manakala aliran kaum muda pula telah melahirkan golongan tajdid seperti Dr Maza, Dr Rora, Dr Mazlee Malik, Ustaz Abdul Rashid Idris dan lain-lain.


Wallahu'alam