Search This Blog

Benar ke sokong PAS dijamin masuk Syurga?



Kaedah fiqh yang diselewengkan

Kaedah fiqh ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب setakat ini banyak disalah gunakan oleh ramai agamawan sampai hangit.

Maksud kaedah ini ialah, ianya bermaksud, apa yang tidak menyempurnakan perkara wajib kecuali dengannya maka perkara yang diperlukan itu pun turut menjadi wajib.

Maka ada orang mengatakan menegakkan Islam wajib, maka sokong kami yang menegakkan Islam pun jadi wajib.

Kaedah inilah yang menjadi dasar kepada haram dan berdosa kalau tak sokong mereka.

Baiklah, penjelasan kaedah ini.

1. Kaedah fiqh ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب dipakai dalam melibatkan kewajipan yang mempunyai ciri berikut:

a) Qat'ie
b) Tetap iaitu tak berubah
c) Menyeluruh untuk semua
d) Khusus dan terperinci

Contoh kewajipan solat yang tak berubah walau berbeza zaman, hukumnya wajib secara qat'ie bukan ijtihad, dan solat ialah hukum yang menyeluruh untuk semua.

Hukum kewajipan wudhuk yang ikut menjadi wajib kerana diperlukan untuk solat, ialah khusus dan terperinci, bukan setiap masa sebaliknya hanya ketika waktu hendak solat.

Selepas selesai solat, maka hukum wudhuk itu pun kembali menjadi sunat....

Tanpa perlu pergi detail kepada syarat dan hadnya, maka sekarang:

Untuk solat perlu wudhuk, dan wudhuk asalnya tidak wajib cuma sunat. Namun demi membolehkan solat yang fardhu itu sah maka wudhuk perlu diambil sehingga ketika itu wudhuk pun ikut menjadi wajib.

2. Politik bukan solat, ianya kewajipan yang tidak tetap.

Politik ialah ijtihad yang tidak qat'ie yang berubah mengikut zaman dan keadaan. Zaman dahulu sistem khalifah, zaman sekarang sistem demokrasi.

Kenyataan mahu 'Menegakkan Islam' pula terlalu umum dan longgar maksudnya, apa yang hendak ditegakkan? Yang mana satu dulu,

Hudud? Tutup aurat? Pentadbiran yang bebas rasuah? Yang mana dulu?

Menegakkan Islam itu maksudnya apa? Solatkah? Puasakah? Zakatkah? Aqidah?

Disebabkan ianya umum bukan khusus dan terperinci, kaedah fiqh mewajibkan perkara yang asalnya tidak wajib tidak boleh dipakai sehingga kita boleh 'detailkan' amalan apa yang wajib secara qat'ie, tetap dan menyeluruh.

3. Perkara yang hendak diwajibkan, kerana ia mesti menjadi syarat atau diperlukan untuk menunaikan kewajipan yang sudah qat'ie, tetap sepanjang masa, menyeluruh untuk semua umat Islam dan khusus serta terperinci itu pula mestilah disepakati oleh fuqaha sebagai hanya satu-satunya cara yang ada.

Sebagai contoh solat tadi, hanya wudhuk sahaja yang terpakai untuk membolehkan solat itu sah berdasarkan hadith nabi salallahualaihiwassalam:

لا تقبل صلاة بغير طهور
Tidak diterima solat kecuali dengan bersuci.

HR. Muslim

Begitu juga riwayat yang lain yang menyebut:

لا يقبل الله صلاة أحدكم إذا أحدث حتى يتوضأ
Allah tidak menerima solat seseorang daripada kamu apabila dia berhadas sehinggalah dia berwudhuk.

*** Justeru setelah menilai pelbagai bukti seperti di atas, barulah para fuqaha berani, sanggup menggunakan kaedah ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب untuk mengatakan bahawa wudhuk memang pasti, confirm, tidak diragui lagi menjadi syarat dan keperluan kepada solat sehingga ianya ikut turut menjadi wajib walaupun asalnya ialah sunat sahaja.

Adapun parti politik, pilihanraya, jamaah tertentu yang difatwakan wajib hanya dengan semudah melaungkan kalimah, kami mahu menegakkan Isle, maka menyokong kami menjadi wajib dengan kaedah ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب adalah bathil, karut dan menyalahi disiplin ilmu fiqh.

Ini kerana, benarkah hanya dengan mengundi parti A atau tertentu sahaja caranya untuk menegakkan Islam? Diyakini secara terbukti, disepakati, memang tiada cara lain, wujud qarinah dan dalil yang mengarahkan tidak diterima usaha menegakkan Islam kecuali dengan parti itu sahaja, kecuali dengan pilihanraya sahaja.

Hakikatnya sejak dahulu lagi Islam ditegakkan melalui usaha dakwah, pendidikan, teladan akhlak dan pelbagai cara yang tidak semestinya pilihanraya atau politik kepartian sehingga hendak mewajibkan ia tidak boleh berlaku kerana tidak memenuhi kelayakkan fiqh untuk itu.

4. Penyelewengan kaedah fiqh ini berlaku akibat kurangnya kajian, disiplin dan ketaqwaan kepada Allah di pihak yang mendakwa parti mereka wajib disertai kerana mengambil mudah soal halal dan haram sekalipun ianya besar di sisi Allah.

Allah berfirman:

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَٰذَا حَلَالٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ

"Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta "ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung." (An-Nahl: 116)

Para salaf dahulu sangat berhati-hati bab mewajibkan sesuatu secara mudah, Ibnu Wahb rahimahullah berkata dari Imam Malik rahimahullah : “Tidaklah menjadi kebiasaan orang-orang (sekarang) atau orang-orang yang telah berlalu, juga bukan menjadi kebiasaan orang-orang yang aku ikuti untuk mengatakan ‘ini halal, itu haram’. Mereka tidak berani untuk melakukannya.

Kala itu, mereka hanya mengatakan nakrahu kadza (kami tidak menyukainya), naraahu hasanan (kami melihatnya baik), nattaqi hadza (kami menghindarinya), wala nara hadza (kami tidak berpandangan demikian)”.

Kepada Allah kita berserah!

Sumber : Ustaz Emran Ahmad


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.