Search This Blog

Gelaran al-Hafizh dalam bidang ilmu hadis



Sebahagian penuntut ilmu kini seringkali menganggap gelaran-gelaran seperti “al-Muhaddith”, “al-Hakim”, “al-Hujjah”, “al-Hafizh” dan seumpamanya bagaikan suatu jawatan atau pangkat khas dalam ilmu hadis...

Misalnya jika seseorang ilmuwan itu menghafal 100,000 hadis misalnya, maka dia layak digelar “al-Hafizh”, manakala sekian kadar hafazan, sekian pula gelaran, sehingga menjadikan ia seakan jawatan Profesor yang perlu dikejar dan dipenuhi kriterianya...

Namun penetapan sebegini tidak menepati tradisi dan praktikal para muhaddithin terdahulu...
Al-Dzahabiy mengarang kitabnya: Tadzkirah al-Huffazh, begitu juga al-Suyutiy mengarang Tabaqat al-Huffazh yang menghimpunkan ramai para huffazh yang digelar sebagai “al-Hafizh” namun tidak pula disebut hadis mereka mencecah 100,000??

Misalnya:
Tokoh bernama Habib bin al-Syahid al-Azdiy al-Hafizh, beliau disebutkan hanya meriwayatkan 100 hadis...
Tsabit bin Aslam al-Kufiy al-Hafizh seorang huffazh di Kufah bak kata Ibn Mahdiy, namun disebut hanya mempunyai 200 hadis...
Syu’bah bin al-Hajjaj menyifatkan Hajjaj bin Artah sebagai “al-Hafizh” walaupun dia disebut mempunyai sekitar 600 hadis sahaja...
Ramai lagi misal praktikal gelaran para nuqqad terhadap mana-mana perawi atau tokoh sebagai “al-Hafizh” tanpa mengikat pada kadar hafalan hadis, bahkan sebahagian besar tokoh-tokoh yang digelar sebagai “al-Hafizh” adalah mereka yang dinilai lemah atau sangat lemah dalam riwayatnya!

Misalnya:
Al-Kudaymiy. Beliau digelar Al-Dzahabiy sebagai “al-Hafiz” yang banyak meriwayatkan hadis, namun beliau dinilai ramai ilmuwan hadis sebagai pendusta dan pemalsu hadis...
Hal yang sama juga didapati para perawi bernama al-Mus’abiy dan ramai lagi, mengisyaratkan bahawa gelaran “al-Hafizh” tidak semestinya menunjukkan martabat yang tinggi dalam medan hadis sehingga tidak boleh dipertikaikan hadisnya..!

Raja gelaran "al-Hafizh" Ibn Hajar al-‘Asqalaniy sendiri menyatakan dalam Nuzhah al-Albab: “al-Hafizh itu gelaran bagi mereka yang mahir dalam selok belok hadis”...
Dalam al-Nukat pula beliau memperincikan kriteria-kriteria gelaran “al-Hafizh” iaitu: Seseorang itu terkenal sebagai penuntut hadis dari pelbagai guru, mahir dalam tabaqat (tingkatan) para perawi, mahir dalam bidang kritikan perawi dan penilaian hadis...
Pandangan Ibn Sayyid al-Nas juga kelihatan hampir selari dengan kalam Ibn Hajar...
"وينك من مائة ألف حديث؟؟"

Rumusannya:
“al-Hafizh” merupakan gelaran yang secara umumnya khas buat mereka yang berkecimpung dalam bidang hadis dan riwayat... Tidak semesti seseorang yang bergelar sedemikian merupakan tokoh “berpangkat” tinggi dalam bidang hadis... Penggelaran tersebut lebih kepada amalan tradisi para nuqqad yang berbalik kepada “’urf” mereka berdasarkan tempat dan zaman...

Seakan gelaran “Tuan Guru” dalam masyarakat tempatan yang diberikan secara tradisi oleh masyarakat yang mengenali dan mengiktiraf keilmuan seseorang, bukan si empunya diri yang mendamba atau menganugerahkan gelaran tersebut kepada dirinya sendiri…

Sumber : Kamilin Jamilin 


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.