Search This Blog

Pindaan RUU Akta 164



Rang undang-undang bagi pindaan Akta Pembaharuan (Perkahwinan & Perceraian) 1976 atau dikenali sebagai Akta 164 yang diluluskan baru-baru ini merupakan pendekatan yang telah diambil dalam menangani isu penukaran agama kepada Islam oleh salah seorang pasangan yang berkahwin secara sivil.

Rang undang-undang ini mencadangkan bahawa hak untuk memfailkan petisyen perceraian haruslah juga diberikan kepada pasangan yang telah menukar agama Islam di bawah sub seksyen 51(1) Akta 164. Ini kerana sebelum ini hak di bawah Akta 164 ini hanya diberikan kepada pasangan yang kekal dalam agama asal.

Oleh itu, isu timbul apabila pasangan yang kekal pada agama asalnya dan tidak memfailkan petisyen pembubaran perkahwinannya ke Mahkamah Sivil, maka perkahwinan mereka dianggap masih sah dan kekal di bawah Akta 164.

Apabila perkahwinan mereka masih dikira sah, maka menjadi suatu kesulitan bagi pasangan yang menukar agama kepada Islam untuk menuntut haknya seperti nafkah, hak penjagaan anak dan hak pembahagian aset bersama dan hak-hak lain yang berkaitan.

Kesulitan juga bakal timbul apabila kedua-dua pasangan membuat permohonan kepada dua mahkamah yang berbeza iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah bahkan apabila kedua-dua mahkamah mengeluarkan arahan yang berbeza.
Mahkamah Syariah juga tidak dapat mengeluarkan arahan untuk membatalkan perkahwinan sivil di bawah Akta 164 kerana kuasa untuk melakukan sedemikian hanyalah terletak pada Mahkamah Sivil.

Dalam mencadangkan pindaan Akta 164 bacaan kedua pada 9 Ogos 2017 yang lalu, YB Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said menerangkan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat (DR) bahawa pindaan ini perlu berdasarkan tiga prinsip utama seperti mana yang dinukilkan oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri semasa merasmikan sambutan Hari Wanita Kebangsaan pada 25 Ogos 2016.

Pertama: sebarang isu berbangkit dari perceraian yang perkahwinannya didaftarkan di bawah Akta 164 hendaklah diselesaikan di Mahkamah Sivil terlebih dahulu dan tuntutan hak jagaan anak dapat terpelihara dan terjamin.

Kedua: dapat menyelesaikan isu perkahwinan mengikut Akta 164 dengan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk meyelesaikan perkahwinan mereka di Mahkamah Sivil.

Ketiga: pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah serta pertindihan peruntukan undang-undang yang sedia ada dapat diselesaikan.

Pemelukan Agama Islam

Pemelukan agama Islam oleh salah satu pihak yang berkahwin di bawah Akta 164 dan kemudiannya berkait dengan penukaran agama kanak-kanak serta perebutan hak penjagaan kanak-kanak berikutan pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah serta peruntukan yang tidak jelas dalam isu ini telah menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan.

Keputusan terbaru dalam kes Mohamad Ridhuan Abdullan lwn Indira Gandhi (2015) di mana Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa keputusan oleh Mahkamah Syariah Ipoh terhadap hak penjagaan kanak-kanak mengikut bapa yang beragama Islam dan pengesahan agama Islam terhadap kanak-kanak tersebut sekali lagi mencetuskan perbahasan yang tidak berkesudahan justeru kerana kedua-dua Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa masing-masing.

Penukaran agama terutama kepada agama Islam merupakan isu yang sangat sensitif kerana ia melibatkan dua penganut agama yang berlainan. Almarhum Profesor Ahmad Ibrahim adalah orang pertama menulis mengenai keperluan meminda seksyen 51 Akta 164 bagi memberi keadilan kepada pihak yang memeluk agama Islam.

Ini kerana, selagi pihak yang bukan Islam tidak memfailkan petisyen perceraian di bawah Akta 164, selagi itulah perkahwinan mereka tergantung. Akta 164 memperuntukkan pemelukan Islam sebagai sebab untuk pembubaran perkahwinan.

Seksyen 51 Akta 164 memperuntukkan:
“Apabila salah seorang kepada perkahwinan itu memeluk agama Islam, pihak yang satu lagi yang tidak memeluk agama Islam boleh memohon petisyen perceraian.
Dengan syarat bahawa tiada petisyen boleh dibuat di bawah Seksyen ini sebelum tempoh tiga bulan tamat dari tarikh pemelukan tersebut”.

Mahkamah Syariah hanya dapat memisahkan mereka tanpa boleh mengeluarkan sijil perceraian bagi perkahwinan tersebut. Menurut seksyen 46(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 (EUKIS 2003) dan enakmen di negeri lain memperuntukkan:

“Pemelukan Islam oleh salah seorang pasangan bukan Islam, secara tersendirinya, tidak menyebabkan perkahiwnan itu terbubar kecuali ia disahkan oleh Mahkamah Sivil”.

Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai kuasa prerogatif dalam membuat pengesahan perceraian ke atas sesuatu pasangan. Masalah yang timbul dalam kes yang melibatkan pemelukan oleh salah satu pihak yang perkahwinannya didaftarkan di bawah Akta 164 ialah pengesahan perceraian oleh Mahkamah Syariah tidak diiktiraf oleh Mahkamah Sivil dan ini tidak mempunyai apa-apa kesan terhadap perkahwinan tersebut memandangkan bahawa pihak yang satu lagi bukan beragama Islam.

Terdapat sesetengah pihak yang mempertikaikan bahawa dengan pindaan Akta 164 akan mengurangkan bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana penentuan agama kanak-kanak, tuntutan hak penjagaan anak, nafkah, aset semasa perkahwinan, perwarisan dan hal-hal lain yang berkaitan. Ini kerana, tuntutan tersebut akan dibuat di Mahkamah Sivil dan bukan lagi di Mahkamah Syariah walaupun salah satu pihak yang terlibat telah memeluk agama Islam.

Sebenarnya, pindaan Akta 164 terutama dalam seksyen 51 banyak menyelesaikan masalah pokok kerana perkahwinan asalnya adalah didaftarkan di bawah Akta 164 dan bukan di bawah Akta/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam.

Begitu juga, terdapat pandangan yang mengatakan bahawa pindaan Akta 164 mengundang pertindihan antara seksyen 51(1) Akta 164 dan seksyen 46(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Akta 303).

Sebenarnya seksyen ini adalah untuk mengesahkan status perkahwinan pihak yang memeluk agama Islam di Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah sejak sebelum pindaan Akta 164 dibuat juga tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan perkahwinan pihak yang memeluk agama Islam kerana hanya Mahkamah Sivil sahaja yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Mengenai pandangan yang mengatakan bahawa pindaan Akta 164 ini mengambil bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, ia sebenarnya tidak berkait langsung kerana perkahwinan orang bukan Islam tidak tertakluk di bawah Mahkamah Syariah kerana ia dibuat di bawah undang-undang sivil iaitu Akta 164. Ia hanya akan berbangkit sekiranya Mahkamah Sivil memasuki bidang kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Syariah.

Jalan Hadapan

Secara umumnya, pindaan Akta 164 oleh pihak kerajaan berkaitan dengan isu penukaran agama kepada Islam serta isu-isu sampingan adalah selaras dengan prinisip Siyasah Syariah.

Prinsip Takhsis al-Qadha’ (pengkhususan penghakiman) yang merupakan antara sub-tema bagi Siyasah Syariah, menghendaki para pemimpin negara atau kerajaan untuk membentuk bidang kuasa yang baru atau mengkhususkan bidang kuasa bagi mahkamah ataupun tribunal yang sedia ada, jika tindakan sedemikian dapat membuahkan keadilan atau mampu mencetuskan penyelesaian yang berkesan.

Memandangkan sebelum pindaan Akta 164, selagi pihak yang tidak memeluk agama Islam tidak memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di Mahkamah Sivil, selagi itulah pembubaran perkahwinan tersebut dianggap tergantung walaupun pihak yang memeluk agama Islam mendapat pengesahan bahawa perkahwinan tersebut terbubar. Tetapi pihak yang memeluk agama Islam tidak boleh berbuat demikian kerana ia tidak tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Bagi mengelak konflik bidang kuasa di atas, pindaan seksyen 51 Akta 164 baru-baru ini adalah merupakan jalan penyelesaian bagi memastikan keadilan terlaksana ke atas kedua-dua pihak sama ada yang menukar agama kepada Islam dan juga bagi yang tidak menukar agamanya. Remedi pindaan Akta 164 melihat pihak yang memeluk agama Islam terlepas dari “gantung tak bertali” buat sekian lamanya sebelum ini.

13 Ogos 2017
Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif
International Institute of Advanced Islamic Studies
(IAIS) Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.