Search This Blog

Part 9: Memahami Hukum Syariat dalam Islam (dharuriyat al-khamsah - hifz al-mal)







Bersambung dari: http://kurauking.blogspot.my/2016/08/part-8-memahami-hukum-syariat-dalam.html




5. Pemeliharaan harta

a) Harta merupakan suatu keperluan asas yang amat diperlukan oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan keturunan. Harta kekayaan adalah kunci pembangunan kehidupan manusia yang melibatkan kemajuan ekonomi, peningkatan taraf hidup dan perkembangan Islam terutamanya dalam maslahah tasiniyat.

Oleh yang demikian, syarat pemeliharaan harta telah ditaklifkan sebagai salah satu daripada prinsip asas yang digariskan di bawah kategori daruriyyah. Terdapat banyak ayat2 al-Quran dan hadith yang menunjukkan bahawa kepentingan penjagaan harta dalam Shariah dapat memberi kemaslahatan umum kepada manusia.

Objektif pemeliharaan harta berkait rapat dengan pemeliharaan agama kerana hukum hakam agama menetapkan cara-cara berurusan dengan harta termasuklah perolehan dan perbelanjaan. Ia berkait rapat dengan penjagaan akal kerana syarat sah transaksi kontrak bergantung kepada kematangan pihak berkontrak.

Begitulah juga ia berkait rapat dengan penjagaan nyawa, maruah dan juga nama baik keturunan. Sebagai contoh penjenayah dikenakan hukuman dalam bentuk bayaran pampasan seperti diyah, pampasan kerana menyebabkan kecederaan, gantirugi kerosakan, kerugian dan lain lain lagi.

b) - Shariat Islam menganjurkan amalan merekodkan dan penyaksian dalam sebarang transaksi serta penetapan syarat-syarat tertentu dalam transaksi urusniaga seperti dalam perjanjian murabahah, mudarabah dan musyarakah. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)..." (QS 2:282)

c) Diantara kaedah dalam Islam untuk pemeliharaan harta adalah larangan mengambil harta dari sumber haram (riba'), rasuah, menipu, menyeleweng, mencuri, merompak dll. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba..." (QS 2:275)

"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)." (QS 2:188)

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu." (QS 4:29)

Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah melaknati pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Hadith Riwayat Tarmizi, Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad)

d) - Amanah adalah salah satu daripada sifat wajib seorang Muslim. Seorang yang telah diamanahkan sama ada dengan tugas atau harta perlulah memegang amanah tersebut dan tidak sepatutnya dikhianatinya. Seseorang yang tidak menjalankan tugasnya dengan penuh amanah dan bertanggungjawab akan dianggap seorang yang munafik. Dalam hadis ada menyatakan tentang tandatanda orang munafik iaitu:

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Tiga tanda orang munafik iaitu pertama, apabila bercakap dia sentiasa bohong, kedua, apabila berjanji dia tidak pernah tunaikannya dan ketiga, apabila diamanahkan dia mengkhianatinya” (Hadith Riwayat Bukhari, no. 33 dan Muslim, no. 59)

e) - Islam meletakkan hukuman yang keras keatas penjenayah mencuri harta orang lain (rujuk hukuman Hudud). Firman Allah SWT yang bermaksud:

”Pencuri lelaki dan pencuri perempuan hendaklah kamu potong tangannya sebagai balasan pekerjaan, dari siksaan daripada Allah, Allah maha perkasa lagi maha bijaksana” (QS 5:38)

f) - Islam juga memberi garis panduan cara2 membahagikan harta selepas kematian seseorang Muslim (rujuk system faraid) supaya keturunan arwah terjaga dan selamat. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan..." (QS 4:11)

Secara ringkas, inilah diantara syarat-syarat yang telah diletakkan dalam Islam dengan tujuan memelihara kemashalatan manusia. Kelima-lima prinsip dharuriyat al-khamsah ini merupakan keperluan asasi manusia dan jika terdapat sebarang pencerobohan keatasnya, maka kehidupan manusia akan sensara. Oleh itu, manusia wajib memahami dalil-dalil syariah ini secara menyeluruh dan menjadikannya sebagai pedoman hidup. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), Maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui”. (QS 45:18)

(maka tamatlah pengajian bab dharuriyat al-khamsah...)



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.