Search This Blog

Part 12: Memahami Hukum Syariat dalam Islam (Qawaid al-Fiqhiyyah - al-umur bi-maqasidiha)





Oleh kerana masalah2 feqah begitu banyak maka perlulah dibuat penentuan dan penetapan umum agar ia selaras dengan kaedah-kaedah atau prinsip-prinsip yang tertentu, dan tugas pengkaji pula perlulah memahami kaedah-kaedah tersebut dengan mengetahui dalil-dalil yang terlibat supaya masalah feqah semuanya dapat dikembalikan kepada maqasid yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Oleh itu, para ulama feqah telah bersepakat untuk mengembalikan segala masalah2 fiqh kepada lima rumusan dan kaedah umum yang digelar sebagai Qawaid al-Fiqhiyyah. Ia merupakan prinsip-prinsip umum dan peraturan2 yang dipersetujui oleh semua ulama fuquha ASWJ sebagai kaedah utama mengistinbatkan sesuatu hukum/fatwa.

Secara ringkas, Qawaid al-Fiqhiyyah (legal maxims of Islamic jurisprudence) terdiri dari 5 perkara, iaitu:


A) Setiap amal perbuatan Itu bergantung pada Niat (al-Umur bi-maqasidiha)

B) Keyakinan tidak hilang dengan keraguan (al-Yaqin la yuzalu bish-shakk)

C) Membuka ruang manfaat dan menutup ruang kemudaratan (al-Dararu yuzal)

D) Kesulitan atau kesusahan disertai dengan kemudahan. (al-Mashaqqat tujlab al-taysir)

E) Adat (Urf) sebagai sumber dan dalil ketentuan hukum (tahkim al-'Adat wa al-ruju' ilayha)



_________________
_________________________




A) Setiap amal perbuatan Itu bergantung pada Niat (al-Umur bi-maqasidiha) - Niat menjadi syarat utama sah atau batal sesuatu perkara dan amalan yang tidak disertai niat itu tidak mendatang apa-apa kesan. Asal atau dalil bagi kaedah ini adalah:

“Sesungguhnya segala amalan itu bergantung pada niat dan mereka akan memperoleh balasan dari apa yang diniatkannya." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Halal atau haram itu semuanya terpulang kepada niat, sebagai contohnya seperti binatang sembelihan apabila disembelih semata-mata untuk dimakan, maka ia adalah halal tetapi sebaliknya jika sembelihan itu bertujuan selain daripada Allah SWT, maka sembelihan itu akan dihukum haram.

Begitu juga diharamkan orang yang jual buah anggur, jika anggur yang dijual adalah bertujuan untuk dimakan atau dijadikan cuka, maka ia adalah diharuskan. Tetapi jika ia bertujuan untuk dijadikan arak, maka jualan sebegini akan dihukum haram. (Shohih Fiqih Sunnah, 4/409)

Ulama fiqh bersepakat menyatakan sekiranya seseorang berniat untuk melakukan kebajikan dan tidak dapat ditunaikannya disebabkan sesuatu masyaqqah atau keadaan tertentu ia tetap diberi pahala. Niat juga amat penting untuk menentukan halal dan haram.

1) Hadis daripada Anas yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi: "..tidak dikira amalan sesiapa yang tidak berniat."

2) Hadis daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Ibn Majah: "..manusia akan dibangkitkan berdasarkan niatnya."

3) Hadis daripada Saidina Umar yang diriwayatan oleh Muslim: "..sesungguhnya setiap pekerjaan itu diambil kira berdasaran niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya."

Fungsi disyariatkan niat

i) Membezakan ibadat dengan adat
• Menahan diri dari makan kerana puasa atau menguruskan badan
• Menyembelih binatang untuk makan atau ibadat korban

ii) Membezakan ibadat dengan ibadat lain
• Ibadat fardhu atau sunat
• Memberikan wang sebagai sedekah atau zakat

Contoh2 Hukum Furu' yang terbentuk daripada kaedah berdasarkan Niat :

a) Seseorang mencuri alat muzik yang melalaikan tujuan merosakkannya, ia tidak dikenakan hukuman hudud, namun jika ia mencuri dengan tujuan menjualnya, maka sabit hukumnya

b) Seseorang yang melakukan sesuatu yang diharus terhadap dirinya dengan niat atau meyakini ia adalah haram, dikira haram. Contohnya, menyetubuhi isterinya dengan meyakini isterinya itu adalah wanita lain, ia dikira berzina

c) Seseorang lelaki menyetubuhi wanita lain dengan sangkaan dan meyakini wanita tersebut adalah isterinya, ia tidak dikenakan hukuman hudud sebagaimana orang yang berzina berdasarkan niat dan maksudnya itu

d) Seseorang yang memerah anggur dengan niat membuat cuka, harus hukumnya. Jika ia berniat membuat arak, haram hukumnya

e) Seseorang yang meminum air mutlak dengan berniat minum arak, maka hukumnya adalah haram.

Para ulama telah berbahas secara detail dan mendalam dalam bab2 qawaid al-fiqhiyyah ini. Ini cuma penjelasan ringkas sahaja agar pembaca dapat merasa kaedah-kaedah yang telah digunakan dalam Usul Fiqh oleh ulama2 fuquha dan ahli fatwa dalam usahanya untuk menyelesaikan masalah2 fiqh.


Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.