Search This Blog

Tools of Ijtihad: Sadd al-Dhara'i (blocking the means)



Menurut Imam al-Qurtubi, Sadd al-Dhara'i ialah perkara yang pada asalnya tidak ditegah melakukannya, namun sekiranya ia mengandungi unsur-unsur yang boleh membawa kepada kerosakan, maka ia ditegah dari melakukannya.

Imam Al-Syatibi pula berpendapat bahawa Sadd al-Dhara’i ialah mengguna jalan maslahah (kebaikan) sebagai cara untuk menghalang mafsadah (kerosakan). Selain itu, menurut Muhammad Hisyam al-Burhani, Sadd al-Dhara’i ialah suatu perkara yang tidak ditegah pada asalnya, tetapi ia ditegah jika terdapat tohmah (unsur-unsur yang boleh membawa kepada kerosakan dan keburukan)

Ulama fuquha yang menerima teori Sadd al-Dhara'i sebagai salah satu daripada kaedah ijtihad mendasarkan dalil dari ayat-ayat Quran ini:

Firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: "raaina", (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: "unzurna"..."(QS 2:104)

Dalam ayat ini, Allah SWT melarang orang-orang yang beriman berkata dengan menggunakan perkataan “raaina” tersebut terhadap Rasulullah SAW, walaupun dengan niat yang baik.

Ini kerana sebutan seumpama itu menjadi punca dan jalan untuk menyerupai orang-orang Yahudi semasa perbualan dan percakapan mereka terhadap Rasulullah SAW.

Orang-orang Yahudi melakukan demikian adalah bertujuan untuk mencela Nabi SAW. Justeru itu, orang-orang beriman dilarang melakukan seumpama itu sebagai sekatan terhadap mereka agar tidak menyerupai sifat orang-orang Yahudi.

Dalam ayat Quran ini pula, Allah SWT berfirman:
"Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka"(QS 24:31)

Dalam ayat ini, Allah SWT melarang wanita-wanita yang beriman menghentakkan kaki-kaki mereka meskipun perbuatan itu diharuskan. Ini bertujuan agar kaum lelaki tidak memberi perhatian kepada mereka apabila terdengar bunyi gelang yang terdapat di kaki-kaki mereka. Ini kerana, perbuatan seumpama itu boleh mendorong ke arah rangsangan syahwat (keinginan) yang diharamkan oleh syarak.

Sabda Rasulullah SAW:
Di antara dosa-dosa besar ialah seorang lelaki memaki hamun kedua ibubapanya”. Lalu para sahabat bertanya, “Wahai Rasululullah! Adakah dia sanggup memaki hamun kedua ibubapanya sendiri”. Jawab Baginda SAW; “Ya! Ianya terjadi apabila dia memaki hamun bapa kepada lelaki lain, lalu lelaki itu pula memaki hamun bapanya. Begitu juga, apabila dia memaki hamun ibu lelaki lain, maka lelaki itu pula memaki hamun ibunya"

Hadis di atas boleh dianggap sebagai asas kepada kaedah Sadd al-Dhara'i . Ini kerana, sesuatu perkara yang boleh membawa kepada haram, maka ia haram dilakukan walaupun tanpa niat untuk melakukan sesuatu yang diharamkan itu. Dalam masyarakat Islam kita pada hari ini, ramai yang telah terkeliru dengan perbuatan dosa dan perkara2 yang boleh membawa kepada dosa. Di dalam Usul al-Fiqh, menghalang perkara2 yang boleh membawa kepada dosa disebut sebagai Sadd al-Dhari'a.

Contohnya, menutup aurat dan bersentuhan dengan ajnabi (bukan mahram) adalah haram kerana perbuatan ini boleh membawa kepada zina. Walaupun tidak menutup aurat dan bersentuhan dengan ajnabi adalah haram, tetapi tingkatan dosanya tidaklah sama seperti tingkatan dosa kelakuan zina itu sendiri.

Maksiat zina adalah dosa hakiki yang dilarang tetapi bersentuhan dengan ajnabi atau menutup aurat hanyalah perbuatan yang akan menzahirkan maksiat zina. Oleh itu, ia mempunyai darjat yang berbeza dengan kelakuan zina itu sendiri. Apabila seseorang dalam keadaan keadaan Hajiyyat ataupun Darurat, maka perkara Sadd al-Dharia adalah diharuskan.

Contohnya seperti ketika dalam keadaan kecemasan atau kemalangan, ajnabi adalah diharuskan disentuh agar dapat selamatkan nyawa mereka. Contoh lain adalah seperti berjabat tangan dengan ajnabi, apabila dalam keadaan yang tidak membawa ke maksiat zina seperti di khalayak ramai, berjabat tangan adalah diharuskan.



Contoh Sadd al-Dhari'a yang lain pula adalah seperti mencerca ataupun menghina agama dan sembahan lain selain Islam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan."(QS 6:108)

Larangan perbuatan mencerca dan menghina sembahan dan agama orang lain adalah untuk mencegah dan menghalang mereka dari mencerca balik agama suci Allah SWT. Apabila kita mencerca agama dan sembahan mereka, mereka akan rasa tidak puas hati dan akan menuntut bela ke atas perbuatan kita dengan mencerca Allah SWT. Akan tetapi, jika terdapat keperluan untuk menyelamatkan akidah para Muslimin, kita dibenarkan untuk memberi gambaran yang benar kepada mereka walaupun ia berupa cercaan atau hinaan.

Penjelasan teori Sadd al-Dhara'i dalam Bahasa English: http://kurauking.blogspot.my/2016/07/sadd-adh-dharai-blocking-mean-to-end.html



Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.